AM

PENTERNAK HARAP TOL DILULUSKAN, BOLEHKAN PIHAK BERKUASA BERTINDAK KES CURI KERANG

26/01/2025 07:30 PM

BUKIT GANTANG, 26 Jan (Bernama) -- Lebih 250 penternak kerang di sepanjang pesisir Kuala Sepetang hingga Bagan Panchor, di sini meminta kerajaan negeri campur tangan berhubung isu permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang tertangguh sejak penghujung 2019.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Tinggi, Trong Abu Salim Karim, 66, berkata tanpa TOL, pihak berkuasa tidak dapat bertindak ke atas kegiatan kecurian di kebun penternakan kerang mereka yang keseluruhannya berjumlah lebih RM500,000 sebulan.

“Kami telah buat permohonan kepada pihak berwajib berkenaan TOL ini namun sehingga kini tiada jawapan balas konkrit diberikan.

“Hal ini menyebabkan hasil kerang di lot kami dicuri pihak tidak bertanggungjawab dan apabila kami melaporkan kepada pihak berkuasa, tiada sebarang tindakan dapat dikenakan kerana kami tidak mempunyai TOL,” katanya pada sidang media di Kampung Kuala Sepetang, di sini hari ini.

Abu Salim berkata kerugian yang dialami juga bertambah apabila terpaksa menggajikan pekerja sebagai usaha mengekang kecurian.

“Mereka (pencuri) datang tak kira waktu. Paling aktif pada waktu malam. Rakan-rakan saya pernah nampak ada satu ketika lebih 10 buah bot datang ke lot kami untuk mencuri (kerang).

“Ada yang datang bawak senjata tajam, ada juga yang ajak bergaduh. Ini semua cabaran yang terpaksa kami lalui sedangkan hasil itu adalah milik kami,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Manjung Utara Faizul Sofian Sabddin berkata pihak berwajib perlu proaktif dalam mencari penyelesaian masalah TOL. 

“Kita mencadangkan agar pihak berkuasa dapat memberi kelonggaran kepada permohonan pihak nelayan di sini yang mendapat sokongan persatuan nelayan atau Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). 

“Jangan beri kepada individu yang tidak berkenaan dan punya kepentingan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda MCA Perak Neow Choo Seong berkata pihaknya berharap masalah berkenaan dapat diatasi kerajaan negeri kerana ia merupakan sumber pendapatan utama bagi nelayan di kawasan itu.

Beliau berkata pihaknya bimbang konflik lebih besar akan tercetus jika masalah itu dipandang mudah pihak berkaitan.

“Kita risau jika tidak ditangani sebaiknya, pergaduhan akan tercetus atau lebih buruk, pengusaha kerang akan gulung tikar dan lenyap,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan