KOTA BHARU, 30 Jan (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Maka Joh, Pulai Chondong, Machang akan disambung esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Penolong Penguasa Bomba Ahmad Alfarra Mohamad Zin berkata setakat ini belum ada petunjuk keberadaan Muhammad Khairul Naeim Che Deraman, 29, dalam pencarian semalam dan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.40 petang semalam sebelum 16 anggota termasuk daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa dan Unit Anjing Pengesan K9 dikejarkan ke lokasi.
“Operasi pencarian telah dilakukan di pesisir sungai dan di permukaan sejak semalam termasuk bantuan daripada PPDA Pengkalan Kubor hari ini, namun sehingga kini masih belum menemukan sebarang petunjuk mengenai kedudukan mangsa.
“Operasi ditangguhkan pada 6.42 petang hari ini dan akan disambung pada keesokan hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian pada 12.43 tengah hari semalam di Balai Polis Pulai Chondong daripada abang mangsa.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat berada di tebing sungai pada malam Selasa dan tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam sungai.
“Setakat ini skop pencarian agensi penyelamat dilakukan di sekitar Sungai Kelantan mulai dari Kampung Maka Joh hingga ke Kampung Mata Ayer dengan jarak sejauh 5.3 kilometer.
"Namun sehingga kini masih belum terdapat sebarang petunjuk penemuan mangsa. Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang sehingga perkembangan seterusnya diperoleh," katanya.
-- BERNAMA