EKONOMI

MALAYSIA AKAN BANTU PERMUDAH TIMOR-LESTE SERTAI PERJANJIAN EKONOMI ASEAN

31/01/2025 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini akan membantu mempermudah Timor-Leste untuk menyertai perjanjian ekonomi ASEAN, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata ASEAN menantikan kesediaan daripada Timor-Leste untuk menyertai perjanjian-perjanjian dan bersedia memberikan sokongan pembinaan kapasiti.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia sedang gigih berusaha bersama-sama dengan negara anggota ASEAN lain untuk memastikan semua proses dan pertimbangan yang diperlukan dimuktamadkan.

Ketika Malaysia terus mengukuhkan penglibatannya dengan Timor-Leste, beliau berkata negara bersedia untuk menawarkan sokongan melalui saluran diplomatik, ekonomi dan perdagangan.

“Melalui penyepaduan Timor-Leste ke dalam ASEAN, Malaysia berharap pertumbuhan ekonomi serantau dapat diperkukuh secara inklusif dan mampan dan ASEAN akan terus makmur dan akhirnya menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian semasa berucap pada majlis menandatangani perjanjian antara Weststar-GAP Aviation LDA dan Santos Australia di Timor-Leste, hari ini.

Beliau berkata permeteraian perjanjian itu bukan sahaja menandakan kerjasama antara kedua-dua syarikat tersebut tetapi juga mencerminkan kerjasama serantau yang lebih meluas antara Malaysia, Timor-Leste, dan rantau ASEAN.

Menurutnya, kerjasama itu membuka jalan bagi jalinan kolaborasi lain pada masa depan dalam sektor penerbangan dan merentas industri seperti tenaga, teknologi dan infrastruktur.

“Ini merupakan model pertumbuhan inklusif yang benar-benar mencerminkan tema Kepengerusian ASEAN kita: Keterangkuman dan Kemampanan,” katanya.

--BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan