AM

RINGGIT SUSUT SUSULAN TARIF BAHARU AS TINGKATKAN KEBIMBANGAN PERDAGANGAN GLOBAL

31/01/2025 07:42 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Ringgit menyusut berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen pasaran yang merosot selepas pengumuman tarif terkini oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menyasarkan China, Kanada dan Mexico.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.4550/4600 berbanding dolar AS daripada 4.3905/3980 semasa ditutup pada Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata tarif baharu itu menambah kebimbangan terhadap kestabilan perdagangan Amerika Utara dan cabaran ekonomi global yang lebih luas.

“Trump turut memberikan isyarat mengenai potensi peningkatan tarif terhadap China, yang menimbulkan kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan baharu.

“Walaupun langkah berkenaan mungkin tidak sesukar yang dibimbangkan pada mulanya, tarif yang sederhana juga boleh memberikan tekanan kepada ekonomi China, yang telah bergelut dengan kesan penurunan pasaran hartanahnya,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata walaupun China melaksanakan pelonggaran dasar monetari dan rangsangan fiskal, intervensi dasar belum dapat mendorong pemulihan yang ketara, seterusnya memberikan tekanan kepada mata wang serantau termasuk ringgit.

Ringgit turut rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.8798/8832 daripada 2.8242/8292, berbanding euro kepada 4.6247/6299 daripada 4.5819/5898, dan berbanding pound Britain kepada 5.5336/5398 daripada 5.4653/4746.

Ringgit  turut rendah berbanding mata wang utama lain

Mata wang tempatan menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.8798/8832 daripada 2.8242/8292, berbanding euro kepada 4.6247/6299 daripada 4.5819/5898, dan berbanding pound Britain kepada 5.5336/5398 daripada 5.4653/4746.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2854/2896 daripada 3.2481/2542 dan berbanding baht Thailand kepada 13.2274/2498 daripada 12.9437/972.

Ia turut berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 273.2/273.6 daripada 271.5/272.0 dan berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.64 daripada 7.51/7.53.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan