DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI DISOKONG MINAT BELIAN BAHARU

31/01/2025 06:38 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan lantunan semula daripada penurunan pada sesi pagi untuk ditutup tinggi dalam minggu dagangan singkat ini meskipun dagangan yang kecil, disokong oleh minat belian baharu, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.23 mata atau 0.27 peratus kepada 1,556.92 daripada paras penutup 1,552.69 pada Selasa

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 1.09 mata kepada 1,553.78 dan bergerak ke paras rendah 1,545.84 semasa sesi pagi sebelum lembali mencecah paras tertinggi 1,563.03 pada sesi petang.

Suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 508 berbanding 319 manakala 446 kaunter tidak berubah, 1,048 tidak diniagakan dan 37 digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.47 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 2.19 bilion unit bernilai RM2.01 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI berjaya ditutup tinggi sedikit walaupun dalam aktiviti dagangan lengang berikutan ramai peserta pasaran yang masih bercuti sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Di peringkat serantau, beliau berkata, pasaran utama juga mencatatkan kenaikan susulan sentimen yang bertambah baik walaupun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif yang tinggi ke atas blok BRICS berhubung dakwaan usaha mengurangkan pergantungan terhadap dolar AS. 

"Secara keseluruhannya, dagangan di seluruh rantau ini masih lengang kerana bursa di beberapa negara masih ditutup semasa musim perayaan," katanya kepada Bernama.

Pasaran di Hong Kong dan China masih ditutup sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM10.34, CIMB meningkat lapan sen kepada RM8.02, IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM7.16, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.60 manakala Public Bank turun enam sen kepada RM4.31.

Dalam kalangan kaunter cergas, YTL Corp dan Gamuda naik satu sen masing-masing kepada RM1.91 dan RM4.04, YTL Power meningkat dua sen kepada RM3.13, Velesto Energy menokok setengah sen kepada 19 sen manakala Nationgate tidak berubah pada RM1.79.

Indeks FBM Emas meningkat 40.85 mata kepada 11,883.71, Indeks FBMT 100 naik 34.71 mata kepada 11,575.90 manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 42.64 mata kepada 11,737.14.

Indeks FBM ACE menokok 49.37 mata kepada 5,195.07 dan Indeks FBM 70 naik 65.01 mata kepada 17,587.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 62.25 mata kepada 18,854.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.36 mata kepada 165.37 dan Indeks Tenaga menokok 0.84 mata kepada 823.32.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan susut 48.91 mata kepada 7,345.60.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 926.01 juta unit bernilai RM1.79 bilion daripada 1.10 bilion unit bernilai RM1.80 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 273.90 juta unit bernilai RM19.19 juta daripada 772.76 juta unit bernilai RM69.38 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 270.62 juta unit bernilai RM112.24 juta daripada 302.93 juta unit bernilai RM139.83 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 139.76 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (127.90 juta), pembinaan (96.74 juta), teknologi (92.14 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (61.50 juta), hartanah (124.81 juta), perladangan (13.37 juta), REIT (7.08 juta), dana tertutup (24,100), tenaga (100.0 juta), penjagaan kesihatan (28.47 juta), telekomunikasi dan media (16.66 juta), pengangkutan dan logistik (13.16 juta), utiliti (104.29 juta), dan amanah perniagaan (54,800).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan