IPOH, 4 Feb (Bernama) -- Polis Perak mengeluarkan sebanyak 7,746 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya, termasuk enam kesalahan utama, sepanjang pelaksanaan Op Selamat 23 yang bermula pada 28 Jan hingga 2 Feb.
Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat enam kesalahan trafik yang dikenal pasti menjadi penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya adalah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
Katanya dalam tempoh tersebut, sebanyak 737 kes kemalangan direkodkan termasuk tujuh kes kemalangan maut yang melibatkan sebanyak lapan kematian.
"Sebanyak tiga kes kemalangan parah direkodkan, manakala 20 kes kemalangan ringan serta 707 kes kemalangan melibatkan kerosakan kenderaan sahaja.
"Kereta mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 922 kes, manakala motosikal merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan maut dengan enam kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkafli turut memaklumkan bahawa Op Selamat kali ini menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus, iaitu 127 kes kemalangan lebih rendah berbanding Op Selamat 21 yang merekodkan 891 kes.
-- BERNAMA