JOHOR BAHRU, 12 Feb (Bernama) -- Beberapa jalan utama di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat bermula Ahad hingga 19 Feb sempena Pesta Perarakan Cingge 2025, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat.
Beliau berkata penutupan jalan pada 16 Feb bagi upacara ‘penyucian jalan’ yang bermula dan berakhir di Kuil Kuno Johor bermula dari 11 pagi hingga 1 tengah hari melibatkan Jalan Trus, Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ulu Air Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek, Jalan Dato’ Onn, Jalan Susur Ibrahim dan Jalan Wong Ah Fook.
“Pada 17 Feb, penutupan jalan dalam tempoh masa sama melibatkan upacara ‘membawa tokong keluar’. Ia bermula dari Kuil Kuno Johor dan seterusnya Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Razak dan Jalan Ulu Air Molek,” katanya pada sidang media di Wisma Tionghoa, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Persekutuan Tionghoa Johor Bahru Ho Sow Tong.
Raub berkata penutupan jalan pada 18 Feb pula bermula 5 petang hingga 3 pagi dengan penutupan bermula dari Rumah Mayat Persekutuan Tionghoa, lampu isyarat Jalan Yahya Awal, jejambat Jalan Lingkaran Dalam, Jalan Gertak Merah, Jalan Syed Mohd Mufti berhadapan bangunan Tabung Haji, simpang Jalan Ulu Ayer Molek, Jalan Dato Onn, Jalan Ibrahim, susur jejambat Danga City Mall dan berakhir di rumah mayat itu.
Beliau berkata penutupan jalan hari terakhir pada 19 Feb bagi upacara ‘membawa balik tokong’ dari 11 pagi hingga 1 tengah hari bermula dari Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek ke Kuil Kuno Johor dengan turut melibatkan Jalan Tun Razak, Jalan Ngee Heng dan Jalan Trus.
Sehubungan itu, Raub berkata pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Abu Bakar bagi pengguna jalan raya dari Skudai atau Danga yang ingin ke pusat bandar raya.
Menurut beliau pengguna jalan raya dari Tebrau dan Kota Tinggi boleh menggunakan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) untuk memasuki pusat bandar raya melalui Jalan Stulang Laut, manakala dari Pasir Gudang melalui Jalan Bakar Batu dan Jalan Lingkaran Dalam sementara pengguna dari Singapura dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan.
Raub menasihati orang ramai agar mematuhi arahan polis yang membuat kawalan bagi setiap upacara dengan 2,148 pegawai dan anggota ditugaskan pada hari kemuncak perarakan itu yang disertai 80 kereta berhias dan 21 pasukan tarian singa dan naga.
Pada tahun lepas dianggarkan lebih 300,000 pengunjung menghadiri perarakan cingge yang merupakan acara kebudayaan masyarakat Tionghoa di bandar raya ini sejak 1870 dan turut dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negeri.
-- BERNAMA