KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI) dan Tadika Raihan hari ini melancarkan Projek PERTIWI ‘Terus Belajar’ bagi mempromosikan literasi dalam kalangan kanak-kanak yang terpinggir dan buta huruf.
Dalam satu kenyataan bersama, Pemangku Presiden PERTIWI Laili Ismail berkata projek disokong Yayasan Hasanah di bawah Kementerian Kewangan itu dijalankan dengan kerjasama Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“Inisiatif ini bertujuan menyokong 37 murid kurang berkemampuan di SBJK dan dijangka memberi impak positif di bawah teras strategik PERTIWI untuk kemajuan pendidikan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pelaksanaan projek itu di SBJK Chow Kit, menandakan permulaan transformasi ke arah memperkasakan minda muda dengan kemahiran asas literasi.
Hal ini kerana projek perintis itu, yang merupakan sebahagian daripada program pendidikan alternatif PERTIWI, katanya akan membantu meningkatkan tahap literasi dan numerasi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang berasal dari keluarga miskin bandar di sekitar ibu negara.
“Kami bersyukur melalui sokongan Yayasan Hasanah serta kerjasama dengan UniMAP di dalam teknik-teknik pembelajaran, inisiatif ini yang telah dimulakan secara prapelancaran sejak Januari lepas akan memberi perubahan yang signifikan dalam kehidupan murid terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarang Bersama dan Pengarah Eksekutif Tadika Raihan, Zuhairah Ali yang merupakan pelopor dalam literasi awal, turut melancarkan edisi ke-10 buku ‘Siri Kaedah Terus Membaca’ beliau pada majlis itu yang dirasmikan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Zuhairah berkata sejak kali pertama diterbitkan pada 1965 oleh arwah ibunya, Datuk Dr Nooraihan Sallehuddin, buku itu berjaya meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak, bukan sahaja di Malaysia malah di negara Asia Tenggara menerusi pendekatan inovatifnya.
“Kaedah beliau (Nooraihan) sangat berjaya dalam meningkatkan literasi, terutamanya di Filipina, dengan pendekatannya telah mengubah landskap pendidikan di sana. Kini, kami menyambut ulang tahun ke-60 buku ini dengan percetakan edisi ke-10,” katanya.
Zuhairah berkata untuk edisi kali ini, buku itu direka dengan teks baharu dan dilengkapi kod respons pantas (QR) audio serta ilustrasi baharu untuk memenuhi keperluan literasi generasi muda masa kini dan dijangka memanfaatkan lebih 1,000 murid melalui cetakan pertamanya.
Selain itu, buku berkenaan juga akan digunakan dalam program PERTIWI Terus Belajar yang dibimbing oleh tujuh tutor khas serta tiga tutor pembantu sepanjang setahun tempoh projek agar dapat memupuk budaya membaca dan pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan.
-- BERNAMA