PASIR MAS, 7 Feb (Bernama) -- Rantau Panjang yang terkenal sebagai zon bebas cukai dan destinasi beli-belah di Kelantan, memerlukan lebih banyak tarikan pelancongan bagi merancakkan kembali ekonomi tempatan serta menarik lebih ramai pengunjung, khususnya dari dalam dan luar negara.
Peniaga dan penduduk setempat berpendapat, tanpa daya tarikan baharu, Rantau Panjang akan terus lengang dan bergantung kepada aktiviti jual beli semata-mata, sedangkan kawasan itu berpotensi untuk berkembang menjadi pusat pelancongan yang lebih menarik.
Seorang peniaga pakaian Rashidah Sulaiman, 44, yang telah berniaga di Rantau Panjang selama 18 tahun, berkata kebanyakan pengunjung tempatan kini lebih cenderung ke Thailand kerana negara jiran itu menawarkan lebih banyak lokasi untuk bersantai serta kawasan bergambar yang menarik.
“Saya sendiri sayang nak tinggalkan tanah air, tapi sejak kebelakangan ini, perniagaan semakin perlahan kerana ramai pengunjung tempatam (rakyat Malaysia) lebih memilih untuk ke Thailand.
“Jika Rantau Panjang mempunyai lebih banyak tempat menarik, pasti mereka akan meluangkan lebih banyak masa di sini dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Rashidah berkata Rantau Panjang bukan sahaja memerlukan tempat beli-belah, tetapi juga kawasan rekreasi seperti taman awam, kafe bertemakan alam, serta kawasan bergambar yang boleh menarik perhatian pengunjung tempatan, terutama golongan muda dan pelancong dari luar Kelantan.
Selain kekurangan tarikan, kurangnya promosi daripada kerajaan negeri juga menjadi faktor utama Rantau Panjang semakin sepi.
Peniaga produk makanan dan pakaian, Suzylawathy Shapie, 48, berpandangan bahawa ketiadaan padang bola, pasar basah, dan kemudahan awam lain turut menyebabkan Rantau Panjang kurang daya tarikan sebagai destinasi pelancongan.
“Di sini (Rantau Panjang) banyak peniaga, tetapi tiada tempat yang betul-betul boleh dijadikan pusat aktiviti masyarakat. Kalau ada padang bola yang baik, ia boleh menarik lebih banyak aktiviti sukan.
“Pasar basah juga penting kerana pelancong suka mencari produk tempatan, tetapi di sini kurang kemudahan seperti itu,” katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa tempatan dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam merancang pembangunan yang lebih berdaya saing untuk menjadikan Rantau Panjang bukan sahaja sebagai pusat beli-belah, tetapi juga sebagai destinasi pelancongan yang lengkap dengan pelbagai aktiviti dan kemudahan.
Seorang pengunjung Mohd Khairy Mohd Noh, 42, berkata banyak lokasi pelancongan di Malaysia menerima promosi besar-besaran, tetapi Rantau Panjang masih kurang mendapat perhatian dari segi pemasaran dan pembangunan infrastruktur.
“Kerajaan perlu memperhebat promosi dan menambah baik infrastruktur agar kawasan ini lebih mendapat perhatian. Setakat ini, masih banyak kemudahan asas yang perlu dinaik taraf, termasuk tempat letak kenderaan, pencahayaan, serta landskap bandar,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak acara atau festival dianjurkan di kawasan tersebut bagi menarik pengunjung sepanjang tahun.
“Kalau ada acara tahunan seperti festival makanan, pameran budaya atau aktiviti sukan sempadan, pasti kawasan ini lebih hidup dan dapat menarik lebih ramai pelancong,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati pekan Rantau Panjang semakin lengang, dengan jumlah pengunjung tempatan yang berkurangan berbanding sebelum ini.
Kekurangan kemudahan dan tarikan pelancongan di kawasan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia lebih memilih untuk ke Golok, Thailand, yang menawarkan lebih banyak pilihan hiburan, lokasi menarik serta suasana beli-belah yang lebih meriah.
Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan perniagaan tempatan, apabila lebih ramai pengguna berbelanja di negara jiran berbanding menyokong ekonomi peniaga di Rantau Panjang.
Penduduk dan peniaga berharap usaha ini dapat direalisasikan bagi memastikan Rantau Panjang kekal relevan sebagai pusat ekonomi dan pelancongan di sempadan Malaysia-Thailand.
-- BERNAMA