PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Kursus khas usahawan dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ‘homestay’ atau inap desa diperkenalkan bagi menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 serta persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini berkata kursus serta program berkenaan diperkenal Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata pengenalan kursus dan program itu amat penting untuk memastikan usahawan desa bersedia mengadaptasi standard antarabangsa dalam pengurusan inap desa sekali gus meningkatkan daya saing sektor pelancongan desa negara.
“Sektor inap desa berpotensi besar dalam meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Mesyuarat Koordinasi Inap Desa bersama pihak berkepentingan termasuk KKDW dipengerusikannya baru-baru ini.
Sebagai satu-satunya Institusi Latihan Awam yang ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Ahmad Zahid berkata INFRA berperanan sebagai Pusat Bertauliah TVET bagi program inap desa.
“Dalam masa yang sama, INFRA juga menjadi pusat rujukan utama dengan menawarkan kursus wajib sebagai prasyarat bagi pendaftaran inap desa yang sah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.
Beliau mahu INFRA terus menjadi peneraju dalam menyediakan modul latihan berimpak tinggi yang bukan sahaja menawarkan kursus tetapi turut memastikan pembangunan modal insan desa yang berkualiti dan berdaya tahan serta memenuhi keperluan semasa.
Sehingga kini, INFRA telah melahirkan 295 graduan TVET Program Homestay manakala 10,094 peserta kursus telah berdaftar di bawah MOTAC sebagai pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM).
Ahmad Zahid berkata pada tahun ini, INFRA telah merangka pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha inap desa termasuk pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan dan Koordinasi Homestay Tahap 3.
Pensijilan lain adalah SKM Operasi Homestay Tahap 2, Kursus Pengenalan Homestay, Kursus Asas Homestay dan Kursus Lanjutan Homestay.
“Program ini menyasarkan penyertaan 1,000 orang daripada kalangan usahawan desa yang ingin memperkukuhkan daya saing dalam industri pelancongan.
“Saya yakin dengan pelaksanaan kursus berkaitan inap desa ini, INFRA berada pada kedudukan yang kukuh untuk menjadi institusi unggul dalam memacu pembangunan desa di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA