SUKAN

PERMOHONAN PERINTAH INJUNKSI PFA TERHADAP FAM DITOLAK - PRESIDEN PFA

07/02/2025 08:49 PM

KANGAR, 7 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Kangar hari ini menolak permohonan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan Kongres ke-61 yang dijadualkan berlangsung pada 15 Feb ini.

Perkara itu disahkan Presiden PFA Zamri Ibrahim selepas prosiding pendengaran permohonan perintah itu yang berlangsung di hadapan Hakim Dr Arik Sanusi Yeop Johari melalui aplikasi Zoom.

“Injunksi ditolak,” kata Zamri ringkas kepada Bernama menerusi pesanan WhatsApp.

Sementara itu, mengenai kes saman PFA terhadap FAM pula, Zamri berkata hakim berkenaan memerintahkan kes saman tersebut dirujuk kepada timbang tara.

Disember tahun lepas,  PFA selaku plantif menerusi Tetuan Zamri Ibrahim & Co memfailkan permohonan mendapatkan perintah injunksi itu dengan menamakan 20 defendan antaranya termasuk FAM, presidennya Tan Sri Hamidin Mohd Amin, naib presiden Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

PFA turut memfailkan saman terhadap FAM untuk mencabar keputusan penggantungan persatuan itu sebagai ahli gabungan badan induk berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Dis 2024.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman menerusi Facebook memaklumkan mahkamah turut memerintahkan PFA membayar kos kepada FAM.

“Mahkamah Tinggi Kangar pada hari ini telah mendengar permohonan FAM terhadap PFA dan memutuskan kes PFA terhadap FAM dibatalkan.

“Ini adalah susulan permohonan PFA untuk satu perintah injunksi menghalang FAM daripada meneruskan dengan Kongres FAM yang dijadualkan diadakan pada 15/2/2025,” katanya.

FAM dan exco badan itu diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz, Souren Ananthan, Yogan Sivam dan M Rajkumaran.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan