AM

TIGA BERSAUDARA WARISI ILMU, KEMAHIRAN TVET ASUHAN POLITEKNIK

09/02/2025 05:07 PM

IPOH, 9 Feb (Bernama) -- Tiga bersaudara termasuk dua beradik berjaya menamatkan pengajian bagi mendapatkan Diploma Pengurusan Peruncitan pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-21 yang berlangsung hari ini.

PSAS dalam kenyataan memaklumkan graduan itu ialah Muhammad Ali Haiqal Mohd Zairi, 24, dan adik perempuannya, Salsabilla, 22, serta sepupu mereka Nor Ain Solehah Mohd Sabri, 22.

Ibu kepada Muhammad Ali Haiqal dan Salsabilla, Zulaikha Kamarudin, 46, yang juga pensyarah bahasa Inggeris di PSAS berkata melihat kedua-dua anak serta anak saudaranya itu berjaya menamatkan pengajian menjadi simbol usaha dan pengorbanan mereka untuk membina kehidupan yang lebih baik.

“Kepercayaan terhadap pendidikan politeknik bukanlah sesuatu yang baharu dalam keluarga ini. Ia telah lama berakar dalam generasi, sekali gus menjadikan mereka sebuah keluarga TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) sejati. 

“Kami sekeluarga percaya dengan sistem politeknik kerana ia lebih berorientasikan kemahiran dan memberi laluan mudah ke dunia pekerjaan. Malah dengan kos yang lebih rendah berbanding universiti lain, politeknik adalah pilihan terbaik untuk kebanyakan keluarga,” katanya yang telah berkhidmat lebih dua dekad di PSAS.

PSAS memaklumkan Muhammad Alief Haiqal dan Salsabilla kini telah melangkah ke dunia pekerjaan dalam bidang peruncitan di sebuah syarikat peruncitan terkemuka negara iaitu MR DIY di Tanjong Malim.

Kenyataan itu memaklumkan Muhammad Alief Haiqal membuktikan keupayaannya apabila projek inovasi yang dihasilkan bersama rakan sepasukan semasa belajar di PSAS berjaya meraih tempat kedua pada pertandingan inovasi peringkat jabatan.

Salsabilla pula bukan sahaja menyerlah dalam akademik tetapi juga bidang sukan apabila beliau pernah mewakili politeknik di peringkat kebangsaan dan mencatat beberapa kejayaan cemerlang antaranya juara kategori beregu pada kejohanan boling Sukan Perak serta tempat ketiga pada kejohanan Majlis Sukan Politeknik.

Nor Ain Solehah juga tidak ketinggalan dalam mencipta kejayaan tersendiri apabila pernah menerima Pingat Ketua Jabatan iaitu anugerah berprestij yang diberikan kepada pelajar cemerlang berdasarkan pencapaian akademik, kepimpinan dan sumbangan kepada institusi.

“Kami bukan sekadar belajar teori, tetapi juga diberi peluang mengasah kemahiran di lapangan sebenar. Sebelum tamat belajar pun, peluang pekerjaan sudah tersedia,” kata Muhammad Alief Haiqal yang menganggap pendidikan politeknik sebagai landasan terbaik untuknya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan