KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri peningkatan selama empat hari berturut-turut pada sesi awal Isnin yang menjejaki aktiviti jualan ketara di Wall Street pada Jumaat lepas ketika pelabur bersiap sedia menunggu pengumuman data penting ekonomi Amerika Syarikat (AS) selain kekal gusar dengan dasar tarif Presiden Donald Trump.
Pada jam 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.43 mata kepada 1,584.48 daripada 1,590.91 pada akhir urus niaga Jumaat. Indeks penanda aras itu dibuka susut 3.26 mata pada 1,587.65.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 213 berbanding 118 dengan 279 kaunter tidak berubah, 1,720 tidak didagangkan dan 22 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 216.43 juta unit bernilai RM87.79 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen di AS kini semakin berhati-hati di tengah-tengah andaian tekanan inlfasi yang semakin ketara.
Ini dapat dilihat daripada kelembapan pekerjaannya walaupun kadar pengangguran susut serta pertumbuhan gaji atau upah yang lebih mengukuh.
Selain itu, Trump juga dilaporkan sedang mempertimbangkan tarif baharu sebanyak 25 peratus ke atas import keluli dan besi yang dijangka diumumkan pada lewat hari ini.
"Minggu ini, peniaga akan memantau rapat data utama, termasuk Indeks Harga Pengeluar dan Indeks Harga Pengguna serta jualan runcit,” katanya.
Di peringkat tempatan, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks FBM KLCI diunjur dalam julat 1,585-1,595.
“Kami percaya dana asing mungkin kembali memasuki pasaran berikutan indeks itu mampu meningkat kepada 1,590 minggu lepas.
"Walaupun jumlah dagangan harian kekal lemah, kami berharap keadaan akan bertambah baik apabila dana asing kembali memasuki pasaran," katanya.
Beliau berkata lonjakan harga minyak sawit mentah yang melebihi RM4,500 satu tan dan prestasi sektor perladangan juga dijangka menjadi tumpuan.
Saham wajaran tinggi menyaksikan CIMB susut 10 sen kepada RM8.29, YTL Power dan Tenaga Nasional masing-masing turun lapan sen kepada RM3.36 sen dan RM13.66, Gamuda turun 11 sen kepada RM4.45 dan YTL merosot tiga sen kepada RM1.99.
Selain itu, Colform Group yang baru disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, mendahului saham paling aktif dengan menokok dua sen kepada 38 sen, diikuti oleh TWL Holdings dan Data Sonic, yang mendatar pada 2.5 sen dan 40 sen manakala Harvest Miracle Capital meraih satu sen kepada 18 sen dan Asia Poly naik setengah sen pada 13 sen.
Di papan indeks pula Indeks FBM susut 38.17 mata kepada mata kepada 12,111.36, Indeks FBMT 100 turun 41.88 mata kepada 11,798.18 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 32.12 mata kepada 11,953.52.
Indeks FBM ACE turun 2.02 mata kepada 5,258.33 dan Indeks FBM 70 merosot 40.49 mata kepada 17,993.04.
Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun sebanyak 60.07 mata kepada 19,173.37, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.27 mata kepada 166.24, Indeks Perladangan meningkat 8.04 mata kepada 7,461.94 manakala Indeks Tenaga meraih 0.19 mata kepada 826.63.
-- BERNAMA