DUNIA

PBB SAMBUT BAIK PEMBENTUKAN KERAJAAN BAHARU LUBNAN, IKRAR SOKONGAN

10/02/2025 02:00 PM

ISTANBUL, 10 Feb (Bernama-AA) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Ahad menyambut baik pembentukan kerajaan baharu Lubnan yang diterajui Perdana Menteri Nawaf Salam serta berikrar menyokong keutamaan pentadbiran itu, lapor Agensi Anadolu. 

Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata PBB berhasrat bekerjasama rapat dengan kerajaan baharu dalam usaha mengekalkan pemberhentian permusuhan, melaksanakan resolusi PBB dan menangani keperluan rakyat Lubnan menerusi pemulihan serta pembaharuan. 

Beliau turut menekankan kepentingan pelaksanaan agenda reformasi yang "komprehensif, inklusif dan mampan". 

PBB menegaskan komitmennya terhadap keutuhan wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan politik Lubnan, selaras dengan Perjanjian Taif, Deklarasi Baabda serta resolusi Majlis Keselamatan 1701 (2006) dan 1559 (2004). 

Resolusi 1701, yang diluluskan sebulat suara pada 2006 menyeru pemberhentian sepenuhnya permusuhan antara kumpulan Hizbullah dan Israel serta penubuhan zon bebas tentera.

Resolusi 1559 pula menekankan pengunduran kuasa asing dan pembubaran kumpulan bersenjata. 

Kerajaan baharu yang dibentuk pada Sabtu itu merupakan pentadbiran pertama Lubnan sejak 2022.

 Presiden Joseph Aoun menerima peletakan jawatan Perdana Menteri sementara Najib Mikati dan menandatangani dekri bersama Salam untuk melantik barisan Kabinet 24 anggota. 

-- BERNAMA-AA 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan