EKONOMI

PERDAGANGAN BORONG DAN RUNCIT NAIK 5.5 PERATUS KEPADA RM1.77 TRILION - PERANGKAAN

12/02/2025 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan sebanyak RM1.77 trilion pada 2024 selepas mencatatkan RM152.2 bilion pada Disember, naik 5.5 peratus dari tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah jualan sebanyak RM66.5 bilion, meningkat sebanyak RM3.6 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus 

“Jualan perdagangan runcit berjumlah RM65.8 bilion, meningkat RM3.4 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenderaan bermotor mencatatkan jumlah jualan RM19.9 bilion, melonjak kepada RM1.3 bilion, sekali gus mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.9 peratus.

Perdagangan borong menunjukkan prestasi yang stabil, disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong berkembang sebanyak 3.6 peratus kepada RM24.7 bilion kebanyakannya disokong oleh produk berkaitan petroleum, kata kenyataan itu.

Selain itu, bagi kumpulan jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup, ia mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 13.9 peratus kepada RM6.6 bilion, sebahagiannya disokong oleh kenaikan harga minyak sawit mentah sebanyak 40.0 peratus, melebihi RM5,000 satu tan untuk dua bulan berturut-turut.

“Pertumbuhan ini juga disokong oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau, menokok 6.3 peratus, didorong oleh pembelian bagi persediaan persekolahan, perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu,” kata Mohd Uzir.

Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun.

Pertumbuhan iitu kebanyakannya didorong oleh subsektor kenderaan bermotor, naik sebanyak 5.5 peratus, diikuti oleh perdagangan borong yang mencatatkan peningkatan sebanyak 5.0 peratus.

Bagaimanapun, selepas pelarasan bermusim, indeks volum mencatatkan penurunan bulanan sebanyak 0.8 peratus berbanding November.

“Bagi keseluruhan tahun 2024, Perdagangan runcit berkembang sebanyak 6.1 peratus kepada RM764.9 bilion, Perdagangan borong meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada RM782.1 bilion dan kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus kepada RM219.1 bilion

“Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia menunjukkan daya tahan pada 2024, didorong oleh permintaan pengguna kukuh, peningkatan pelancongan, dan persekitaran ekonomi yang stabil,” katanya.

Mohd Uzir berkata pada 2025, sektor berkenaan dijangka terus mengekalkan momentumnya, disokong oleh penggunaan domestik yang stabil, pelancongan antarabangsa, perkembangan e-dagang dan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik.

Bagaimanapun, tekanan inflasi, rasionalisasi subsidi dan ketidaktentuan ekonomi global dijangka akan memberi sedikit tekanan dalam sektor itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan