AM

CALON DUTA BESAR MALAYSIA KE AS TUNGGU PERKENAN AGONG - PM ANWAR

14/02/2025 03:59 PM

PUCHONG, 14 Feb (Bernama) -- Kerajaan sudah mempunyai calon Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu dan kini dalam fasa mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses mendapat perkenan itu merupakan prosedur biasa bagi lantikan ke jawatan berkenaan dan beliau akan melakukannya dalam masa terdekat. 

“Calon sudah ada, prosesnya kita ada, jadi Insya-Allah bila saya pulang dari Bahrain nanti, saya akan serah (nama calon) kepada Agong dan dapatkan perkenan Seri Paduka Baginda,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam di Puchong Perdana di sini hari ini.

Anwar berkata demikian apabila ditanya mengenai pengganti Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang dilaporkan telah tamat perkhidmatan bagi tempoh dua tahun sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Ahad lepas.

Mohamed Nazri mula memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada 9 Feb 2023, dan menurut kenyataan Kementerian Luar pemilihan itu berdasarkan pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.

Perdana Menteri dijadual melakukan lawatan rasmi ke Bahrain minggu depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan