JENAYAH & MAHKAMAH

EMPAT POLIS CEDERA DILIBAS PARANG LELAKI MENGAMUK DI SUNGAI PETANI

15/02/2025 10:03 PM

SUNGAI PETANI, 15 Feb (Bernama) -- Polis mengesahkan empat anggotanya mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan termasuk kepala akibat dilibas dengan parang sewaktu cuba menangkap seorang lelaki dalam kejadian amuk di Taman Seri Astana dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata dua anggota masing-masing berusia 20-an yang cedera telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Saya sahkan bahawa polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan saya juga sahkan terdapat empat anggota cedera semasa dalam proses menangkap suspek.

“Dua anggota berusia 40-an dan 50-an, masih dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda hari ini.

Wan Azharuddin berkata suspek lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia semasa dirawat di HSAH pada pukul 1.04 pagi tadi.

“Semasa polis hendak menangkap suspek, dia bertindak menghayunkan parang menyebabkan polis dalam usaha mempertahankan diri, melepaskan tembakan… Suspek kemudiannya terus dibawa ke hospital dan disahkan meninggal semasa mendapatkan rawatan,” katanya.

Wan Azharuddin berkata siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar pukul 3 petang semalam sebelum suspek berjaya diberkas kira-kira tujuh jam kemudian.

Suspek didapati berada di dalam rumah yang berkunci ketika polis tiba di lokasi dan usaha anggota memujuk suspek tidak berjaya sebaliknya suspek bertindak agresif termasuk melibaskan parang.

Sementara itu, seorang saksi Mohd Soyuti Abdullah, 50, berkata, dia sedang berehat di hadapan rumahnya sebelum terdengar suara seperti orang bergaduh.

“Selepas itu saya lihat dua orang polis dikejar seorang lelaki bersenjatakan parang.

“Lelaki terbabit kemudiannya dilihat melibas parang panjangnya dan mengenai seorang anggota berkenaan sebelum masuk dan menguncikan pintu rumah milik keluarganya sejurus selepas itu," katanya.

Mohd Soyuti berkata dia bersama penduduk turut membantu dua anggota yang cedera itu sebelum mereka dikejarkan ke HSAH.

Seorang lagi saksi Mohd Aqif Zamri, 26, berkata dia tidak menyangka suspek bertindak agresif sehingga mencederakan anggota yang datang untuk menenangkan kerana sikapnya selama ini pendiam dan kurang bergaul dengan jiran.

“Kami penduduk sekitar sini juga tidak mengetahui bahawa suspek mengalami masalah mental kerana selama mendiami rumah itu bersama ibu bapanya sejak hampir setahun lepas, mereka lebih banyak menyendiri.

“Selepas kejadian itu baru kami tahu dia mengamuk kerana dipercayai telah lama tidak makan ubat untuk penyakit yang dialaminya,”katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan