EKONOMI

KERAJAAN KOMITED TINGKAT CAMPURAN KAPASITI TBB DALAM PEMBEKALAN ELEKTRIK NEGARA

17/02/2025 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kerajaan komited untuk meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara secara berperingkat dan terancang bagi memastikan keperluannya dalam pembangunan pusat data dapat dipenuhi.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ini juga bagi memastikan bekalan tenaga keseluruhan tidak terjejas serta memberi implikasi kos yang minimum kepada keseluruhan pengguna.

"Usaha ini merangkumi peningkatan komposisi bekalan elektrik hijau yang dijana daripada sumber TBB secara beransur-ansur kepada 31 peratus pada 2025, (dan seterusnya) 40 peratus pada 2035 dan 70 peratus menjelang 2050," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ali Anak Biju (PN-Saratok) berhubung langkah diambil kerajaan bagi memenuhi keperluan TBB dalam pembangunan pusat data serta sama ada bekalan TBB ke pusat itu akan mengganggu bekalan tenaga keseluruhan, sekali gus menyebabkan kenaikan tarif elektrik pada masa akan datang.

Menjelaskan selanjutnya, Akmal Nasrullah berkata PETRA yakin usaha peningkatan campuran kapasiti tenaga itu dapat direalisasikan dengan pelaksanaan pelbagai program, termasuk Tarif Galakan (FiT), Solar Berskala Besar (LSS), Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), Kegunaan Sendiri (Selco), Perjanjian Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA), Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan Program Tarif Elektrik Hijau (GET).

Selain itu, bagi membolehkan syarikat korporat, termasuk pusat data mendapat akses bekalan elektrik hijau lebih mudah secara terus daripada penjana TBB, Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu (CRESS) telah diperkenalkan.

Program itu memberi pusat data pilihan untuk mendapatkan bekalan elektrik hijau secara terus daripada penjana TBB menerusi penggunaan perkhidmatan rangkaian grid utiliti.

“Aturan ini akan membolehkan syarikat korporat seperti pusat data mendapat bekalan elektrik hijau yang diperlukan dengan membayar caj akses sistem yang akan digunakan untuk menampung sebahagian kos pengukuhan sistem pembekalan elektrik dan rangkaian grid.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan implikasi kenaikan tarif kepada pengguna elektrik umum kerana kos diperlukan untuk pengukuhan sistem rangkaian grid bagi menampung kemasukkan pusat data adalah sangat tinggi...ia adil dan saksama sekiranya pihak pusat data dapat turut menyumbang dalam mempercepat usaha peralihan tenaga ini,” katanya.

Berdasarkan rekod dan data pembekalan elektrik, terdapat 18 pusat data yang telah beroperasi di negara ini sehingga Disember 2024 dengan jumlah permintaan bekalan elektrik sekurang-kurangnya 800 megawatt (MW) dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 81 pusat data menjelang 2035.

“Kerajaan akur bahawa industri pusat data ini merupakan industri yang “energy intensive” (berintensifkan tenaga). Sehubungan itu, kerajaan telah memperkenalkan Penggunaan Tenaga (PUE) bagi memastikan pusat data baharu yang memohon insentif pelaburan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk mengutamakan kecekapan tenaga dengan mematuhi piawaian ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah menyediakan Garis Panduan Perancangan Pusat Data sebagai panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan sebagai usaha untuk menyeragam dan memudah cara proses permohonan dan kelulusan perancangan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai negeri Johor membangunkan jana kuasa tenaga elektriknya sendiri, Akmal Nasrullah berkata keperluan itu tidak timbul setakat ini meskipun penggunaannya dijangka meningkat berikutan terdapat grid yang boleh menyalurkan bekalan TBB.

"Kita akan terus lihat sistem bekalan elektrik negara ini secara keseluruhan. Namun, jika ada perkara-perkara baharu yang boleh dikemukakan, kita akan menelitinya dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan