KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Khamis dengan lebih rendah, diasak aktiviti jualan membabitkan saham wajaran tinggi tertentu selain menjejaki prestasi pasaran serantu ketika pelabur kian gelisah terhadap kebimbangan berkaitan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 6.10 mata atau 0.38 peratus kepada 1,574.78 daripada 1,580.88 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka turun 0.26 mata kepada 1,580.62 dan bergerak dalam julat 1,574.02 hingga 1,581.49 sepanjang sesi itu.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 555 berbanding 262 dengan 463 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,060 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan melonjak kepada 1.89 bilion saham bernilai RM1.09 bilion.
Pasaran serantau merosot susulan pendirian pelabur yang lebih berhati-hati berikutan cadangan Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas automotif, semikonduktor dan farmaseutikal yang dijangka berkuat kuasa pada 2 Apri ini.
Pasaran Nikkei 225 Jepun turun 1.46 peratus kepada 38,591.71, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.38 peratus kepada 22,627.51 manakala Indeks Straits Times Singapura menguncup 0.07 peratus kepada 3,931.09, Indeks Komposit Shanghai di China merosot 0.16 peratus kepada 3,346.09 dan Indeks Kospi Korea Selatan berkurangan 0.66 peratus kepada 2,653.76.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen di pasaran tempatan kekal tidak menentu di tengah-tengah aliran keluar dana asing yang berlanjutan.
Sehubungan itu, pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati, menumpukan sektor yang berdaya tahan seperti hartanah dan perbankan.
Ini memandangkan dua sektor itu menawarkan hasil dividen menarik dan dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan trafik pengunjung pusat beli-belah dan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang stabil.
“Peniaga juga boleh meninjau peluang dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB) kerana Malaysia menyasarkan kapasiti tenaga itu sebanyak 31 peratus menjelang 2025, disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Program Tenaga Hijau Korporat," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Maybank susut enam sen kepada RM10.44, Public Bank turun lima sen kepada RM4.49 dan Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM13.76. CIMB naik tiga sen kepada RM8.32 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.21.
Kaunter paling aktif menyaksikan AE Sunlof yang mula disenaraikan di Pasaran ACE hari ini, meraih satu sen kepada 31 sen manakala Ingenieur Gudang dan TWL Holdings masing-masing tidak berubah pada 5.5 sen dan 2.5 sen.
MYEG menokok dua sen kepada RM1.02 dan Hartalega menokok satu sen kepada RM2.45.
Di papan indeks pula Indeks FBM Emas susut 36.12 mata kepada 11,906.89 dan Indeks FBMT 100 jatuh 28.55 mata kepada 11,637.25.
Indeks FBM Emas Shariah merosot 42.58 mata kepada 11,579.46, Indeks FBM 70 naik 22.65 mata kepada 17,400.22 manakala Indeks FBM ACE turun 64.96 mata kepada 4,942.20.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 71.38 mata kepada 19,274.77, Indeks Perladangan turun 40.83 mata kepada 7,381.57, Indeks Tenaga susut 6.53 mata kepada 779.77 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan sebanyak 1.14 mata kepada 160.91.
-- BERNAMA