AM

SISTEM ADUAN BAHARU IPCC DILANCARKAN BULAN DEPAN - SAIFUDDIN

17/02/2025 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEAKS) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dijangka dilancarkan bulan depan bagi menggantikan sistem aduan sedia ada yang bersifat lebih konvensional.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sistem baharu itu bakal memudahkan orang awam untuk mengemukakan aduan termasuk memaparkan status terkini tepat masa aduan tersebut, berbanding cara email, hadir secara fizikal dan menghantar surat sebelum ini.

“Apabila sistem ini sudah mula beroperasi, kita akan dapat susuli, misalnya kita nak hasilkan laporan tahunan dengan terperinci, perincian statistik aduan yang diterima, diselesaikan dan yang masih lagi tertangguh, kita boleh buat.

“Kita juga boleh beri kemas kini tepat masa, maknanya apabila sistem ini dibangunkan nanti, dengan sendirinya akan ada dashboard untuk buat pengesanan terhadap status aduan. Kita juga akan menggunakan ini untuk melakukan media engagement dengan lebih kerap.

“Dengan cara ini sahajalah kita dapat meningkatkan kepercayaan awam terhadap suruhanjaya ini seawal ia beroperasi,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung pencapaian IPCC sejak penubuhannya sehingga akhir tahun 2024 serta fungsi IPCC, dan Police, Friends and Collaborators (IPFC).

Selain itu Saifuddin Nasution berkata sejak 1 Julai 2023 hingga kini IPCC telah membuka lapan kertas siasatan dengan empat daripadanya telah berjaya diselesaikan. 

“Akta IPCC menyebut ada aduan yang IPCC boleh siasat dan boleh cadangkan hukuman. Ada juga aduan yang IPCC terima, tapi dia kena salur kepada MACC sebab ada elemen rasuah. Kalau melibatkan jenayah berat, ia perlu disalurkan kepada polis sebab dalam polis ada Jabatan Siasatan Jenayah.

“Manakala kalau melibatkan isu lain iaitu Seskyen 96 dan 97 (Akta Polis 1967) ia boleh disalurkan kepada Jabatan Intergriti, ” katanya.

Sementara itu Saifuddin berkata beliau menjangka isu berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA ) akan dibentangkan pada sesi penerangan menteri sidang Dewan Rakyat minggu ini.

Beliau berkata pada sesi itu beliau sendiri akan memberi penjelasan menyeluruh tentang keadaan semasa dan rencana ke hadapan berkaitan SOSMA yang sedang Kerajaan MADANI usahakan.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung kelompongan pengurusan salah laku anggota polis termasuk mengkaji semula perlaksanaan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) terhadap aduan salah laku, Saifuddin berkata proses siasatan dan keputusan kes sedia ada sudah memadai.

“Sejak saya masuk di sini (menjadi Menteri Dalam Negeri) mewarisi timbunan kes-kes tatatertib tak selesai...sejak saya masuk sampai sekarang tak ada lagi kes tatatertib yang kita tak selesaikan, tak ada lagi kes tertangguh, kes sedang berlangsung - ada.

“Sistem yang ada sekarang, proses yang ada sekarang memadai untuk elak berlakunya kelambatan dalam membuat keputusan terhadap satu kes… kita menunjukkan komitmen yang bersungguh-sungguh untuk selesaikan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan