BEIJING, 17 Feb (Bernama-CMG) -- Presiden Pakistan Asif Ali Zardari berkata negaranya ingin belajar daripada pengalaman China dalam pelbagai bidang, dan berharap dapat meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan China.
Beliau menyatakannya ketika ditemu bual Kumpulan Media China (CMG), di sini baru-baru ini.
Zardari telah menghadiri upacara perasmian Sukan Musim Sejuk Asia (AWG) ke-9 di Harbin, timur laut China pada 6 Feb.
"Setiap kali saya datang ke China, saya mempunyai pengalaman dan perasaan baharu. Setiap bandar menyerlahkan daya tarikan baharu.
"Beijing, yang saya kunjungi 10 tahun lepas, kini juga menunjukkan perubahan besar dalam bangunan, sosiobudaya dan sebagainya," katanya.
Ketika menyentuh mengenai Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), Zardari berkata ia bukan sahaja menjadi projek ikonik baharu bagi kerjasama dan persahabatan antara Pakistan dan China, malah juga meletakkan asas kukuh untuk mempromosikan pembangunan ekonomi negaranya dan kesalinghubungan serantau.
CPEC mencapai kejayaan besar sejak ia dilancarkan pada 2013. Pembinaan unit lima loji jana kuasa nuklear Chashma akan mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan manakala Pelabuhan Gwadar yang dikenali sebagai "Mutiara di Laut Arab" mempunyai tiga terminal berkapasiti 50,000 tan dan mampu beroperasi pada kapasiti penuh.
"Kami ingin menggunakan sinergi Pakistan-China, memacu pembangunan dalam pelbagai sektor dengan memanfaatkan pendekatan sains dan teknologi, sama ada penggunaan sumber air, pengumpulan air hujan dan tindak balas perubahan iklim. Kami perlu belajar daripada pengalaman China," kata Zardari.
Sementara itu, beliau juga memuji tradisi pertukaran lawatan antara kedua-dua negara, di samping menzahirkan keyakinannya untuk mengintensifkan perkongsian strategik dalam apa jua keadaan cuaca antara Pakistan dan China.
-- BERNAMA-CMG