AM

MANFAATKAN AI UNTUK MEMERANGI MAKLUMAT PALSU - FAHMI

17/02/2025 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa agensi berita untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani maklumat palsu, yang semakin teruk akibat AI dalam era media digital.

Menyedari keperluan untuk ‘melawan api dengan api’, beliau menekankan bagaimana AI digunakan untuk menentang ancaman yang didorong oleh AI dalam keselamatan siber, dengan merujuk kepada organisasi seperti BlackBerry yang menggunakan AI untuk meningkatkan keselamatan digital.

“Terdapatnya peluang untuk melihat apa yang AI boleh lakukan untuk organisasi berita anda dan landskap negara anda dalam memerangi keburukan maklumat palsu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) ke-54, di sini hari ini.

Berkongsikan inisiatif terbaru Malaysia dalam memerangi maklumat palsu, Fahmi berkata kerajaan telah memperkenalkan chatbot AI pemeriksaan fakta ‘AIFA’ untuk memerangi berita palsu di WhatsApp.

Beliau berkata chatbot itu dibangunkan selepas satu tinjauan yang menunjukkan ramai rakyat Malaysia bergantung pada WhatsApp untuk berita terkini.

“Jadi kami memutuskan untuk memerangi maklumat palsu di WhatsApp, secara langsung di WhatsApp. Kami mencipta chatbot ini dan orang ramai boleh berinteraksi dengannya, orang ramai boleh bertanya soalan padanya,” katanya.

Fahmi juga menyentuh cabaran yang dihadapi organisasi media pada era ini, termasuk peralihan kepada media sosial sebagai sumber berita, yang telah memberi kesan besar kepada iklan media tradisional.

Pada makan malam anjuran Kementerian Komunikasi, Fahmi juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dua agensi berita, iaitu Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional (ANTARA) dari Indonesia dan Kyodo News dari Jepun.

MoU tersebut bertujuan memperbaharui kerjasama sedia ada antara Bernama dan dua agensi berita tersebut, sambil meningkatkan perkhidmatan kandungan bagi memenuhi keperluan media baru yang berkembang.

Pada majlis pertukaran MoU itu, Bernama diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, manakala ANTARA diwakili Pengarang Urusannya Teguh Priyanto, dan Kyodo News diwakili Pengarah Urusan Jabatan Antarabangsa Moriyasu Chikazawa.

Majlis tersebut turut disaksikan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Mohd Shukri Ishak, yang juga menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarang, serta ahli-ahli Lembaga Eksekutif OANA.

Makan malam tersebut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Pentarama Jabatan Penerangan (JaPen), yang mempamerkan tarian tradisi Malaysia sambil menyampaikan mesej bermakna yang berkesan kepada masyarakat.

Malaysia, melalui Bernama menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA ke-54 selama empat hari bermula Ahad.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan