KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Petronas, melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), berjaya mengakhiri Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2024 dengan pemeteraian dua kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) untuk Blok SB306A dan SB306B, yang terletak di luar pantai Sabah.
Petronas menjelaskan PSC itu diberikan kepada konsortium yang terdiri daripada INPEX Malaysia E&P SB306A Sdn Bhd (INPEX), Petronas Carigali Sdn Bhd, dan SMJ Energy Sdn Bhd.
INPEX ialah pengendali SB306A manakala Petronas Carigali pula pengendali SB306B.
“Pencapaian penting ini menjadikan jumlah PSC baru yang ditandatangani di bawah MBR 2024 adalah 14, termasuk MBR+, melibatkan 12 pengendali yang berbeza. Semua kontrak ini meliputi 11 peluang sumber ditemui (DRO) dan tiga blok cari gali,” menurut Petronas dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam langkah strategik untuk mengembangkan sumber hidrokarbon Malaysia, Petronas juga menandatangani perjanjian penilaian teknikal (TEA) untuk Lembangan Langkasuka di Selat Melaka dan Lembangan Layang-Layang di luar pantai Sabah.
“Perjanjian ini, yang dibuat bersama tujuh syarikat minyak dan gas terkemuka -- BP, Eni, INPEX, Petronas Carigali, Pertamina, PTTEP dan TotalEnergies -- membuktikan komitmen Petronas untuk memanfaatkan potensi lembangan utama dan menggerakkan cari gali di kawasan yang berpotensi ini,” tambah syarikat minyak dan gas Malaysia itu.
Naib Presiden Kanan MPM Datuk Bacho Pilong berkata Malaysia terus menjadi destinasi utama untuk pelaburan huluan, menawarkan peluang luas kepada peserta industri untuk mengembangkan portfolio masing-masing.
“Pemberian 14 PSC di bawah MBR 2024 dan MBR+ mengukuhkan kelebihan daya saing Malaysia dan mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap negara ini sebagai hab Tenaga Unggul terkemuka,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menghargai sokongan, komitmen, dan kerjasama rakan kongsi industri, yang telah melaksanakan peranan penting dalam pembangunan sumber hidrokarbon berterusan Malaysia.
Berlandaskan momentum MBR 2024, Petronas memaklumkan bahawa MPM telah melancarkan MBR 2025 dengan tema “Advancing Progress with Advantaged Energy”.
“Pusingan bidaan ini menawarkan lima blok cari gali di Lembangan Melayu dan Lembangan Penyu di luar pantai Semenanjung Malaysia, serta Lembangan Sandakan di luar pantai Sabah, yang masing-masing menawarkan peluang geologi yang pelbagai dengan potensi sumber yang signifikan.
“Selain itu, tiga kluster DRO tersedia di perairan cetek berhampiran infrastruktur sedia ada dan pasaran gas yang berpotensi, membolehkan penjanaan perolehan yang pantas,” tambahnya.
-- BERNAMA