EKONOMI

KERAJAAN SARAWAK DAN PERSEKUTUAN SEPAKAT UNDANG-UNDANG PETROLEUM, GAS PERLU DIHORMATI 

18/02/2025 06:13 PM

KUCHING, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bersepakat supaya semua pihak menghormati undang-undang persekutuan dan negeri berkaitan aktiviti pembangunan petroleum dan gas di negeri ini, dengan Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bekerjasama sebagai rakan kongsi untuk memajukan kepentingan dan hasil negara dan negeri.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam kenyataan hari ini berkata undang-undang ini termasuk Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) Sarawak. 

Abang Johari berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau sendiri telah mencapai kata sepakat bahawa walaupun Petros berperanan sebagai agregator gas, kontrak sedia ada yang telah dimeterai oleh Petronas dan anak-anak syarikatnya tidak akan terjejas bagi membolehkan Petronas memenuhi obligasi berkontrak domestik dan antarabangsa.

“Bagaimanapun prestasi kontrak sedia ada tidak boleh menjejaskan peranan Petros sebagai agregator gas dan perlu konsisten dengan peruntukan DGO 2016,” katanya.

Kenyataan ini dikeluarkan sebagai maklum balas kepada kenyataan Anwar di Parlimen semalam mengenai pengagihan gas dan peranan Petros sebagai agregator gas di Sarawak.

Abang Johari menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri berikutan mengiktiraf Petros sebagai agregator gas di Sarawak dan DGO 2016 sebagai undang-undang yang membolehkan Sarawak terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas (O&G) di wilayahnya.

Beliau berkata kerajaan Sarawak komited demi kepentingan negara bagi memastikan jumlah gas terjamin serta gas tambahan yang dihasilkan dari wilayah luar pesisir dan pentas benua Sarawak, digunakan dengan lestari.

Menurutnya komitmen ini menyokong pertumbuhan industri di negeri ini serta memanfaatkan gas untuk menghasilkan tenaga bersih bagi memenuhi permintaan di Semenanjung Malaysia, selaras dengan hasrat yang dinyatakan oleh Kerajaan Persekutuan bahawa Sarawak akan menjadi hab tenaga bersih untuk Malaysia.

Bagi memastikan Petronas dapat membekalkan akses gas yang terjamin sebanyak 1.2 bilion kaki padu standard sehari untuk kegunaan domestik di Sarawak, beliau berkata kerajaan negeri akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi kawasan luar pesisir barat Sarawak dan tempat lain di pentas benua untuk  tujuan cari gali gas.

“Kerajaan Sarawak perlu memastikan bahawa jumlah gas yang dijamin ini dilaksanakan pada harga wajar atau harga yang akan menggalakkan pelaburan dan industri di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mendukung dan menjaga hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri serta diberikan kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

“Di samping menjaga hak dan kuasa perlembagaan, kerajaan Sarawak mengiktiraf aspirasi rakyat Sarawak terhadap sistem penggunaan gas yang lebih baik dan peruntukan perlu diseimbangkan dengan keperluan bagi kestabilan dan pertumbuhan industri O&G di Sarawak, terutama ketika berdepan cabaran ekonomi global dan peralihan ke arah tenaga boleh baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan