GEORGE TOWN, 18 Feb (Bernama) -- Pulau Pinang telah menerima bekalan 4,000 dos vaksin influenza bagi pelaksanaan fasa pertama program pemberian vaksin secara percuma kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Sukan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata 24 klinik kesihatan di seluruh negeri ini menawarkan pemberian vaksin influenza tersebut, yang merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan bagi memastikan golongan warga emas berisiko tinggi dilindungi daripada ancaman penyakit.
"Imunisasi vaksin percuma itu diberikan kepada individu warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, jantung, obesiti, kolesterol tinggi, buah pinggang kronik atau paru-paru kronik.
"Ia adalah untuk melindungi golongan berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti radang paru-paru (pneumonia) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pemberian vaksin itu di Klinik Kesihatan Jalan Macalister di sini hari ini.
Beliau berkata warga emas yang menepati kriteria boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma dengan membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera dan sambutan untuk pendaftaraan tersebut setakat ini sangat menggalakkan.
Gooi berkata pihaknya ingin memastikan setiap janji temu yang telah dibuat akan dipenuhi, justeru tidak menggalakkan walk-in bagi mengelakkan masalah kekurangan dos serta kesesakan di klinik kesihatan, dan slot janji temu diberikan berdasarkan ketersediaan vaksin di semua Klinik Kesihatan terlibat.
-- BERNAMA