AM

TIADA ARAHAN PENAMATAN KONTRAK SECARA BESAR-BESARAN PEGAWAI TIDAK MILIKI SPM - JPA

18/02/2025 04:26 PM

PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan arahan bagi menamatkan kontrak secara besar-besaran terhadap pegawai yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengurusan kontrak pegawai lantikan (CoS) adalah berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan dan persetujuan kedua-dua pihak.

“Kelulusan CoS di bawah peruntukan OS29000 untuk tahun 2024 bagi kakitangan yang tidak memiliki SPM hanyalah 2,037 orang.

“Sehingga 13 Feb lepas, 108 permohonan daripada pelbagai agensi untuk kelonggaran syarat skim perkhidmatan bagi melantik semula pegawai kontrak yang tidak memiliki SPM susulan daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” menurut kenyataan itu.

JPA memaklumkan daripada jumlah itu, 83 permohonan telah diluluskan manakala 25 permohonan tidak dapat dipertimbangkan kerana pegawai masih dalam tempoh kontrak atau lantikan sebelum ini yang didapati tidak teratur, sekali gus menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu itu secara inklusif dan bertimbang rasa.

Menurut JPA, pelaksanaan SSPA telah menetapkan bahawa 14 skim perkhidmatan yang sebelum ini menerima kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dinaik taraf kepada kelayakan masuk SPM.

“Namun, ini tidak bermakna pegawai awam yang sedang berkhidmat dengan kelayakan PMR atau PT3 perlu ditamatkan kontrak.

“Keputusan ini juga bertepatan dengan perubahan sistem pendidikan negara, yang tidak lagi melaksanakan peperiksaan PMR dan PT3. Dengan pemansuhan PMR dan PT3, SPM kini menjadi taraf pendidikan terendah yang melayakkan seseorang untuk memasuki perkhidmatan awam," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga 31 Dis 2024, 302,284 individu telah memohon jawatan Pembantu Khidmat Am, dan daripada jumlah berkenaan, 186,010 calon memiliki kelayakan SPM. 

JPA memaklumkan dalam mempertimbangkan pelantikan baharu, kerajaan perlu memastikan keseimbangan antara memenuhi syarat kelayakan perkhidmatan dan memberi peluang kepada calon yang layak.

Oleh itu, JPA menegaskan dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai penamatan kontrak 30,000 kakitangan adalah tidak tepat kerana segala keputusan berkaitan pelantikan dan pengurusan kontrak dibuat dengan penuh pertimbangan berdasarkan keperluan perkhidmatan serta dasar kerajaan sedia ada.

“Kerajaan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan semua pihak, termasuk Cuepacs bagi mencari penyelesaian terbaik yang adil kepada semua pihak terlibat. Keutamaan kerajaan adalah memastikan tenaga kerja dalam perkhidmatan awam diselaraskan dengan keperluan semasa, sambil memastikan kebajikan pegawai kontrak terus dijaga,” menurut kenyataan itu.

Pada 13 Feb lepas, Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat meminta kerajaan mempertimbangkan keputusan tidak menyambung perkhidmatan 30,000 kakitangan kontrak yang tidak memiliki SPM.

Beliau juga dilaporkan berkata keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan golongan itu dan tidak mengambil kira pengalaman selama enam tahun dalam perkhidmatan kontrak adalah satu langkah tidak adil.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan