EKONOMI

SYARIKAT TEMPATAN PERLU PROAKTIF TERAP AMALAN ESG DALAM PERNIAGAAN

18/02/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), syarikat dan pengeksport yang terlibat dalam rantaian bekalan agar menjadi lebih proaktif menerapkan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata penerapan ESG akan memudahkan barangan mereka memasuki pasaran antarabangsa. 

"Mereka perlu bertindak proaktif agar produk mereka tidak dihalang daripada memasuki pasaran antarabangsa akibat sekatan peraturan-peraturan berkaitan ESG," katanya  pada sesi Kamar Khas, Dewan Rakyat hari ini.

Liew berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu kelebihan kepada syarikat-syarikat tempatan yang mematuhi kerangka ESG. 

Menurutnya, kerajaan telah mengambil langkah proaktif membantu syarikat-syarikat tempatan yang bersedia untuk memenuhi keperluan daripada negara-negara asing termasuk berkenaan pematuhan kerangka ESG termasuk rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 2023. 

“Bagaimanapun, saya perlu tekankan bahawa perlaksanaan amalan i-ESG di Malaysia adalah secara sukarela dan dipacu oleh pasaran serta keperluan yang ditentukan oleh syarikat-syarikat dalam rantaian bekalan,” kata Liew. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan