EKONOMI

MYEG CATAT UNTUNG BERSIH RM697.55 JUTA PADA TAHUN KEWANGAN 2024

18/02/2025 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- My E.G. Services Bhd (MYEG) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM697.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 berbanding RM487.65 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Penyedia perkhidmatan digital e-kerajaan dan komersial itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini berkata, perolehan syarikat meningkat kepada RM1.02 bilion daripada RM774.26 juta sebelumnya.

Syarikat tersebut turut mengaitkan peningkatan keuntungan bersih dan perolehannya daripada sumbangan yuran perkhidmatan aplikasi web3 menerusi platform blok rantai Zetrix seperti ZTrade, ZCert serta pendaftaran dan transaksi ID Digital.

MyEG berkata prestasi berkenaan juga dibantu oleh jualan token Zetrix selain pengiktirafan keuntungan nilai saksama daripada pelaburan dalam HeiTech Padu Bhd.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2024, keuntungan bersih MYEG naik kepada RM181.13 juta daripada RM150.16 juta dalam tempoh yang sama pada tahun kewangan 2023.

Perolehan juga melonjak kepada RM293.53 juta daripada RM222.04 juta.

Dalam pada itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, MYEG menjangka untuk terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu khususnya teknologi kecerdasan buatan kepada aplikasi dan infrastruktur blok rantai atau Web 3.0 di Malaysia serta di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan