Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kepimpinan Malaysia dalam ASEAN memainkan peranan penting dalam menangani krisis politik yang berterusan di Myanmar, kata Speaker House of Commons United Kingdom (UK) Sir Lindsay Hoyle.
Memuji peranan Malaysia dalam mempromosikan demokrasi dan kerjasama serantau, Hoyle optimis bahawa Malaysia mempunyai peranan utama dalam membantu Myanmar kembali ke arah kestabilan.
Beliau turut menekankan kepentingan usaha kolektif dalam menyokong kemajuan demokrasi.
"Myanmar sepatutnya berada di barisan hadapan. Namun, apa yang kita lihat ialah Myanmar semakin mundur. Dulu ada visi yang baik untuk negara itu bergerak ke hadapan, tetapi kini ia kembali di bawah pemerintahan junta tentera," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama sempena lawatannya ke Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa pemerintahan diktator bukanlah penyelesaian yang berdaya maju dan usaha perlu dilakukan bagi mengembalikan pemerintahan demokrasi di Myanmar.
"Tiada siapa mahu melihat kekejaman berlaku di mana-mana negara. Tiada siapa mahu melihat rakyat mereka sendiri ditindas. Itu tidak boleh diterima," katanya.
Myanmar terus bergolak sejak rampasan kuasa oleh tentera terhadap kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokrasi pada Februari 2021.
Krisis di Myanmar menjadi kebimbangan utama ASEAN kerana pertempuran berterusan antara kerajaan junta dan pelbagai kumpulan telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan di negara itu.
Lawatan kerja Hoyle ke Malaysia adalah atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, yang sebelum ini turut mengadakan lawatan ke UK pada Januari lalu.
Speaker Parlimen UK itu tiba di Malaysia pada Isnin dengan beberapa pertemuan di Kuala Lumpur dan Sarawak sebelum berlepas pulang ke UK pada Jumaat.
-- BERNAMA