GERIK, 21 Feb (Bernama) -- Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta digalakkan menaja kelas tuisyen bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar di kawasan luar bandar dan golongan B40, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata inisiatif yang bertujuan memberi peluang kepada pelajar golongan sasar melayakkan diri ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) itu bukan satu perkara baharu, namun ia perlu diperbanyakkan lagi.
"Berdasarkan pengalaman saya, peratusan anak B40 yang lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) amat rendah, dan tanpa kelulusan UKKM amat sukar untuk memasuki MRSM kerana kualiti kelayakan tidak boleh dikompromi.
"Apabila kita perbanyakkan tuisyen tambahan, murid-murid di sekolah rendah terutamanya darjah enam dapat dipersiapkan dengan bengkel atau tuisyen khas bagi menghadapi peperiksaan seperti UKKM," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Program Back To School Yayasan Axiata 2025 bersama Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik (MDG) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata Mohamad Kamal Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif YPM Faisalludin Mohamat Yusuff.
Asyraf Wajdi berkata usaha itu juga sebagai persediaan kepada pelajar terlibat agar mereka tidak mengalami kejutan ketika menduduki UKKM selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sebelum ini.
Sementara itu, Asyraf Wajdi yang ditanya mengenai tempoh lantikan sebagai Pengerusi MARA yang disambung dua tahun lagi berkata masih banyak yang perlu dilakukannya.
"Bukan mudah dan perlu kerja keras untuk membangunkan pendidikan dan keusahawanan orang Melayu dan bumiputera.
"Saya akan pergi ke semua 57 MRSM dan institut pendidikan MARA yang lain kerana saya bertanggungjawab untuk memastikan setiap duit rakyat benar-benar dibelanjakan dengan efektif," katanya.
-- BERNAMA