ALOR SETAR, 20 Feb (Bernama) -- Peniaga di bandar raya ini yang menjual semula tapak bazar Ramadan kepada pihak lain akan berdepan tindakan tegas termasuk dikenakan kompaun dan disenarai hitam.
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya berkata ini termasuk membatalkan tapak jualan mereka dan membukanya untuk disewa kepada peniaga lain.
Beliau berkata anggota penguat kuasa akan menjalankan pemantauan terhadap aktiviti ini di semua tapak jualan seliaan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berdasarkan sistem penandaan kod bar di samping peniaga turut diberikan pas dengan pemeriksaan dilakukan secara berkala.
"Selain itu, di setiap lokasi bazar, kita ada penyelia, dan kita juga ada ahli majlis berdasarkan zon yang akan membantu memantau perkara ini," katanya kepada pemberita selepas program taklimat kepada peniaga bazar Ramadan 2025, di sini hari ini.
Abdul Gafar berkata peniaga bazar Ramadan diingatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk tidak menggajikan pekerja warga asing bagi mengelakkan tindakan.
Beliau berkata toleransi dan kerjasama antara peniaga serta agensi yang terbabit termasuk pihak kesihatan dan keselamatan turut dituntut bagi memastikan penganjuran bazar Ramadan berjalan lancar, selain tidak mengubah susun atur gerai yang ditetapkan supaya tidak mengganggu laluan orang ramai.
"Pada tahun ini, MBAS menyediakan 942 tapak jualan bazar Ramadan di 15 lokasi di bandar raya ini dan Pokok Sena," katanya.
-- BERNAMA