AM

MAJLIS DAERAH PENDANG NAFI DAKWAAN CAKE, KADAR SEWA TAPAK BAZAR MASIH SAMA

20/02/2025 10:26 PM

PENDANG, 20 Feb (Bernama) -- Majlis Daerah Pendang (MDP) menafikan kadar sewa tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di daerah ini naik sehingga 10 kali ganda seperti yang didakwa Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) semalam.

Yang Dipertua MDP Nasrun Mohd Sheriff berkata terdapat kekeliruan berhubung dakwaan berkenaan dengan kadar sewa tapak bazar Ramadan 2025 adalah sama seperti tahun sebelumnya iaitu bermula RM350 setiap tapak untuk tempoh selama sebulan. 

“Kadar sewaan tapak bazar raya pula bermula RM850 sehingga RM3,800 (selama 15 hari), bergantung kepada saiz tapak dan pilihan kemudahan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kadar sewaan yang dikenakan adalah bersesuaian dengan pakej yang disediakan dengan  pihak majlis juga menyediakan tapak alternatif kepada peniaga-peniaga yang kurang berkemampuan.

“Kesemua harga ini termasuk caj kebersihan, lesen sementara, promosi dan lain-lain,” katanya dan memaklumkan MDP sentiasa mengambil pendekatan terbaik dalam menguruskan tapak perniagaan itu tahun ini supaya teratur dan kemas.

Semalam, Presiden CAKE Mohd Yusrizal Yusoff dilaporkan mendakwa menerima aduan mengenai kadar sewa tapak bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di Pendang yang naik sehingga 10 kali ganda daripada yang dikenakan sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan