GERIK, 21 Feb (Bernama) -- Yayasan Axiata menyalurkan RM1 juta bantuan menerusi program Back To School Yayasan Axiata kepada 2,000 pelajar yang layak di negara ini, sejak ia diperkenalkan pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata Mohamad Kamal Nawawi berkata yayasan itu memikul tanggungjawab besar dalam mendukung agenda pendidikan negara khususnya melibatkan keluarga kurang berkemampuan.
"Program ini bertujuan untuk memberikan bantuan persekolahan dengan harapan pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan yang lebih selesa.
"Misi utama yayasan dalam teras pendidikan adalah untuk menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada semua keluarga secara saksama dan inklusif oleh semua pelajar di negara ini," katanya ketika berucap pada Program Back to School Yayasan Axiata 2025 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik (MDG) di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed.
Terdahulu, 450 pelajar Orang Asli dari Parlimen Gerik menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Axiata dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
Majlis itu turut menyaksikan simbolik penyerahan Cek Cura Yayasan Axiata berjumlah RM250,000 yang diserahkan oleh Mohamad Kamal kepada Ketua Pegawai Eksekutif YPM Faisalludin Mohamat Yusuff.
-- BERNAMA