SUKAN

NSFC, KELAB PERTAMA NEGARA JALIN KERJASAMA DENGAN WARRIX

21/02/2025 10:37 PM

SEREMBAN, 21 Feb (Bernama) -- Negeri Sembilan Football Club (NSFC) menjadi kelab bola sepak pertama di negara ini yang menandatangani perjanjian penajaan bersama syarikat pengeluar pakaian sukan dari Thailand, WARRIX, bernilai RM1.7 juta bagi kempen Liga Malaysia 2025/2027.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC Faliq Firdaus berkata selain penajaan kit rasmi, WARRIX merupakan rakan teknikal rasmi selama dua tahun, iaitu bagi musim 2025/2026 dan 2026/2027, merangkumi skuad utama utama NSFC, B-23, B-20 dan B-18 yang akan memulakan saingan tidak lama lagi.

“Kerjasama ini bukan sahaja membabitkan penajaan kit rasmi pasukan, malah turut memberikan manfaat dari segi pemasaran dan komersial yang amat diperlukan untuk kita terus berdaya saing dalam arena bola sepak tempatan yang kian mencabar.

“Pemilihan WARRIX sebagai penaja kit rasmi juga seiring dengan matlamat kelab untuk memperkasa pembangunan perniagaan, yang juga merupakan salah satu daripada enam teras pembangunan semula kelab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Warrix Flagship Store, Siam Square, Bangkok, hari ini.

Ia dihadiri oleh Pengerusi NSFC merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, sambil disaksikan oleh Exco sukan merangkap Naib Presiden PBNS Datuk Mustapha Nagoor.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif WARRIX, Wisan Wanasaksrisakul; Ketua Pegawai Eksekutif NSFC Faliq Firdaus serta Pengarah Universal Sports Sdn. Bhd., Tan Peng Koon, yang merupakan pengedar rasmi jenama WARRIX di Malaysia.

Dalam pada itu, Wisan Wanasaksrisakul dalam kenyataan sama melahirkan keterujaan untuk bekerjasama dengan NSFC dan berharap kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Ini merupakan kali pertama kerjasama seumpama ini dijalinkan dengan kelab bola sepak di Malaysia selepas kali terakhir kami berada dalam pasaran Malaysia lima tahun lalu,” katanya, sambil berharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Negeri Sembilan.

Sebagai rekod, selain NSFC, WARRIX juga merupakan penaja rasmi bagi pasukan Phnom Penh Crown FC dari Kemboja, Tampines Rovers dari Singapura, serta pasukan kebangsaan Thailand.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan