SUKAN

TENGKU HASSANAL SERTAI CABARAN MARA LASAK PAHANG 2025

22/02/2025 07:36 PM

RAUB, 22 Feb (Bernama) -- Sebanyak 570 peserta terdiri daripada 57 pasukan menyertai Cabaran Mara Lasak Pahang 2025 yang julung kali dianjurkan di Ulu Dong di sini hari ini.

Berangkat memeriahkan acara Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang turut berkenan menyempurnakan dan menyertai larian sejauh 10 kilometer itu bersama rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata tujuan acara itu diadakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan lasak dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia.

"Kesemua peserta termasuk Tengku Mahkota Pahang menempuh cabaran dengan berlari di denai berhutan, mendaki bukit bukau dan meredah sungai. Walaupun laluan berkenan dilihat sukar, baginda berjaya membuktikan kewibawaan apabila dapat menamatkan larian dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas selesai acara Cabaran Mara Lasak Pahang 2025 di padang awam Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong di sini hari ini. 

Acara yang bermula pada 8.40 pagi itu melibatkan kategori VIP, agensi kerajaan dan penduduk kampung dengan penyertaan setiap pasukan adalah lapan lelaki dan dua wanita dan perlu melepasi enam titik semak (checkpoint) sebelum menamatkan larian. 

Fadzli berkata acara anjuran Majlis Rekreasi Pahang bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sokongan kerajaan Pahang ini turut meletakkan syarat, setiap peserta perlu membawa beg seberat lima kilogram bagi meningkatkan cabaran.

"Walaupun ramai peserta mengatakan laluan dipilih amat lasak, masih ramai berjaya menamatkan larian. Lebih menarik terdapat peserta veteran tentera berusia lebih 60 tahun menyertai larian bagi kategori VIP,” katanya.

Beliau berkata acara berkenan mungkin diteruskan pada masa akan datang berikutan sambutan diterima amat memberangsangkan. 

"Pada permulaan, hanya 50 penyertaan berpasukan dibuka tetapi (kami tambah kepada) 57 pasukan dan ia sudah melebihi had. Banyak permintaan dari luar Pahang tetapi kita terpaksa tolak, mungkin kita akan terima mereka pada penganjuran yang lebih besar pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan