IPOH, 22 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar di 26 kawasan yang diwakili pembangkang di negeri itu, bertujuan untuk melancarkan tugas dan tanggungjawab pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata dakwaan pembangkang kononnya pelantikan itu menjejaskan karier Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan hanya persepsi semata-mata, kerana pembangkang turut melakukan perkara sama di negeri yang ditadbir mereka.
“Kami di Perak tidak lantik penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti negeri pembangkang, kita lantik pegawai khas menteri besar supaya ada wakil kerajaan untuk agensi berkaitan dapat rujuk.
“Pejabat daerah umpamanya atau mana-mana agensi kerajaan tidak lagi pening nak menjemput wakil kerajaan kerana sudah ada wakil, takkan nak jemput ketua bahagian jika melibatkan urusan kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Penerima Program Kad Perak Sejahtera di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang yang dibangkitkan oleh ADUN Kenering Husairi Ariffin yang mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri melantik pegawai khas di semua kawasan pembangkang.
Dalam pada itu Saarani berkata Husairi sepatutnya tidak perlu bimbang kecuali wakil rakyat itu resah dengan khidmat bakti yang dicurahkan pegawai khas yang dilantik.
-- BERNAMA