IPOH, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 1, 946 warga emas telah mendapatkan vaksin influenza secara percuma di 78 klinik kesihatan terpilih di Perak menerusi program vaksinasi sukarela di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 18 Feb lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan berkata jumlah itu amat menggalakkan selain slot janji temu imunisasi influeza di 32 daripada 78 klinik kesihatan telah ditempah penuh hingga Mac ini.
“Perak telah diperuntukkan sebanyak 17,000 vaksin dan akan dibekalkan oleh pembekal secara berfasa. Ia juga akan diagihkan berdasarkan peratusan warga emas di kawasan operasi dan jumlah bekalan yang tersedia.
“Jika mengikut populasi, kita mempunyai sekitar 500,000 warga emas dan separuh daripada itu berkemungkinan mempunyai penyakit yang melayakkan mereka untuk mendapatkan vaksin ini secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan ke Program Vaksin Influenza Percuma di Klinik Kesihatan Buntong, di sini hari ini.
Pada 10 Feb lepas, KKM memaklumkan program vaksinasi sukarela terbuka kepada individu berumur 60 tahun dan ke atas serta menghidap diabetes, penyakit respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia dan penyakit buah pinggang kronik.
Menurut KKM, peluasan program imunisasi itu juga bertujuan melindungi populasi berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian, dan dijangka memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi.
Sivanesan berkata warga emas yang berminat untuk mendapatkan vaksin berkenaan boleh membuat janji temu melalui MySejahtera atau di klinik kesihatan terpilih.
“Warga emas di Perak yang layak dinasihatkan supaya segera mengambil peluang dan menempah slot janji temu melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada program ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan mana-mana penerima vaksin supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami kesan sampingan selepas suntikan.
“Sekiranya terdapat sebarang gejala seperti demam berpanjangan, bengkak atau reaksi alergi selepas suntikan, segera dapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan. Keselamatan penerima vaksin sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.
-- BERNAMA