SHAH ALAM, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 217 sekolah tahfiz di Selangor kini dalam proses pemutihan menerusi Program Pemutihan Tahfiz dilaksanakan kerajaan negeri, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata daripada jumlah itu 49 sekolah tahfiz telah memperoleh kebenaran merancang (KM) penuh manakala 168 lagi telah diselesaikan isu dokumentasi bagi mendapatkan KM.
"Baki 389 sedang diusahakan oleh Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat daerah dan tanah (PDT), dan kita menjangka pendaftaran berakhir pada hujung tahun ini.
"Dengan kejayaan awal ini, saya optimis kerajaan negeri berada di landasan betul untuk kita menzahirkan hasrat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar tahfiz di Selangor beroperasi secara selamat untuk anak-anak dan pengusaha tahfiz," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Selangor di Bangunan DUN Selangor di sini hari ini.
Mohammad Fahmi turut menafikan dakwaan terdapat elemen salah guna kuasa oleh ahli majlis PBT sehingga menyukarkan pihak pengurusan tahfiz mendaftar institusi mereka secara sah.
"Menerusi semakan saya tidak ada (berlaku), dan proses pemutihan juga tidak langsung melibatkan kelulusan ahli majlis. Namun saya mohon, jika ada mana-mana pihak mengalami perkara itu, untuk melaporkannya supaya tindakan susulan boleh diambil," katanya.
Sebelum ini Mohammad Fahmi berkata \606 sekolah tahfiz di negeri ini dikenal pasti tidak pernah mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sejak 2008, berdasarkan jumlah pendaftaran yang diterima menerusi program pemutihan.
-- BERNAMA