KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) memperbaharu kerjasama strategik untuk meningkatkan perjalanan dari Malaysia ke Singapura.
Dalam kenyataan pada Isnin, MAG menjelaskan kerjasama itu menumpukan kepada usaha pemasaran bersama dan tawaran khusus untuk meningkatkan daya tarikan Singapura sebagai destinasi pelancongan bagi pengembara Malaysia.
Kerjasama itu juga bertujuan meningkatkan perbelanjaan pelancongan dan jumlah pengunjung di lokasi tarikan utama, menurutnya.
“Sebagai sebahagian daripada kerjasama yang diperbaharu itu, MAG dan STB akan melancarkan kempen pemasaran destinasi yang menampilkan kru Malaysia Airlines dan Firefly menikmati tarikan ikonik Singapura termasuk Gardens by the Bay, Singapore Flyer, SEA Aquarium di Resorts World Sentosa, Universal Studios Singapore, Rizab Hidupan Liar Mandai dan Muzium Aiskrim,” tambahnya.
Menurut MAG bagi menandakan tahun ketiga kerjasama itu, kedua-dua organisasi akan memperkenalkan manfaat perjalanan yang ditambah baik untuk pelanggan MAG, termasuk keistimewaan pas masuk di Singapura.
“Semua inisiatif ini dirancang secara strategik untuk memanfaatkan tempoh perjalanan puncak, termasuk cuti hujung tahun, cuti sekolah, dan musim perayaan, memastikan akses dan nilai lebih hebat untuk pelancong.
“Ini juga susulan daripada pengembangan operasi pesawat Firefly di Subang, dengan pelancaran penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (SIN) bermula 25 Mac, 2025 sekali gus memberikan lebih banyak pilihan perjalanan untuk pelancong perniagaan dan percutian,” jelasnya.
Ketua Pegawai Komersial MAG Dersenish Aresandiran berkata pihaknya gembira dapat meneruskan kerjasama dengan STB untuk terus meletakkan Singapura sebagai destinasi utama dalam rangkaian MAG.
“Dalam fasa seterusnya ini, kami akan mengetengahkan tarikan istimewa Singapura di samping menyediakan nilai tambah kepada pelanggan kami melalui produk yang disesuaikan dan promosi eksklusif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Asia Tenggara STB Terrence Voon berkata pihaknya gembira memperkukuh kerjasama dengan MAG untuk menawarkan promosi yang berbeza di Singapura.
“Kami berharap dapat menerima lebih ramai pelawat dari Malaysia ke Singapura, dan mereka boleh meneroka pengalaman unik dan memperoleh nilai yang ditawarkan bandar penuh rancak ini,” katanya.
-- BERNAMA