BUTTERWORTH, 24 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan projek Local Planned Maintenance 12 Years (LMP12Y) yang menyelenggara pesawat dalam negara menggunakan kepakaran syarikat tempatan membantu menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan sebanyak 20 peratus, berbanding menyelenggara di luar negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penyelengaraan mandatori pesawat FA-18D di Pangkalan Udara Butterworth itu juga membantu kementeriannya menjimatkan masa penyelenggaraan iaitu hanya mengambil setahun berbanding tempoh masa yang lama jika dihantar ke luar negara.
“Secara tidak langsung ia membangunkan industri aeroangkasa tempatan, meningkatkan kemampuan syarikat-syarikat kita yang terlibat dalam MRO (perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) kapal terbang ataupun jet pejuang.
"Yang penting di sini ia dilaksanakan lebih daripada 70 peratus daripada syarikat tempatan dengan tenaga kerja 100 peratus daripada orang tempatan, penjimatan 20 peratus (perbelanjaan) berbanding hantar luar negara dan masa untuk melaksanakan penyelenggaraan itu adalah singkat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.
Beliau memaklumkan penyelenggaran sangat penting bagi memantapkan jangka hayat sesebuah pesawat dan sebelum ini kerajaan memutuskan untuk melaksanakannya di luar negara, namun ketika negara dilanda pandemik COVID-19 ia tidak dapat diteruskan.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled menyangkal dakwaan kononnya beliau memberikan penjelasan yang mengelirukan berhubung pembelian 28 unit helikopter secara kontrak pajakan dengan kos RM16 bilion untuk tempoh 15 tahun.
Beliau berkata Syarikat Weststar Aviation Services Sdn Bhd merupakan syarikat besar yang mengendalikan perkhidmatan helikopter bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara.
"Syarikat Weststar memang sebuah syarikat mengendalikan perkhidmatan helikopter bukan sahaja di Malaysia, malah di Arab Saudi selain terlibat di sektor gas dan minyak di Timor-Leste.
"Syarikat ini juga telah membekalkan perkhidmatan helikopter untuk Petronas. Jadi syarikat ini bukan biasa-biasa kerana ia ada kemampuan dalam kewangan," katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mendakwa penjelasan Mohamad Khaled mengelirukan dan meminta mengemukakan justifikasi mengenai perjanjian pajakan itu.
-- BERNAMA