AM

KAMPUNG ANGKAT MADANI ICU TINGKAT KUALITI HIDUP PENDUDUK KAMPUNG KUALA MENGKUANG

24/02/2025 06:53 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan projek fizikal dan bukan fizikal di Kampung Kuala Mengkuang di sini menerusi Program Kampung Angkat MADANI adalah bukti komitmen tinggi kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup serta sosioekonomi penduduk desa, kata Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM2.5 juta untuk melaksanakan projek dan program berimpak besar kepada penduduk di situ. 

Nik Nasarudin berkata selain itu perbincangan juga diadakan bersama penduduk bagi memberi peluang kepada mereka mengutarakan sebarang cadangan, supaya projek yang hendak dilaksanakan dapat memenuhi hasrat penduduk setempat. 

"Menerusi peruntukan diberikan, kita telah melaksanakan 34 projek fizikal dan bukan fizikal di kampung ini, dengan kebanyakannya melibatkan projek pembinaan dan baik pulih infrastruktur untuk manfaat penduduk seperti menurap jalan berlubang.

"... turut dilaksanakan ialah inisuatif membina dewan terbuka dengan belanja hampir RM550,000, pembinaan taman permainan, baik pulih tabika KEMAS, projek kebun komuniti, menaik taraf dan menceriakan kawasan jajaran Sungai Kulim termasuk mendalamkan serta membaiki tebing sebagai usaha menangani isu banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI ICU JPM di Kampung Kuala Mengkuang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Strategik) ICU JPM merangkap Pengerusi Kampung Angkat MADANI ICU JPM Norashikin Ishak dan Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Mengkuang Ibrahim Din.

Nik Nasarudin berkata semua projek itu dilaksanakan secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada 30 Jan lepas, dengan kerjasama 16 rakan strategik terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan swasta.

Beliau berkata kampung itu juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi 'Seni Mural Kreatif Pertama di Jambatan Landasan Keretapi' yang dihasilkan menerusi kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). 

ICU JPM turut menyalurkan RM100,000 di bawah program Sejati MADANI untuk melaksanakan program Kraf Kreatif bertujuan merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Sementara itu Ibrahim berterima kasih kepada ICU JPM kerana memilih Kampung Kuala Mengkuang sebagai Kampung Angkat MADANI seterusnya membantu merealisasikan harapan penduduk mendapatkan kemudahan infrastruktur lebih baik.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi 43 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara dengan pengagihan RM2.5 juta bagi setiap kampung.

Terletak dalam daerah Seberang Perai Tengah, Kampung Kuala Mengkuang mempunyai populasi hampir 1,300 orang merangkumi 95 peratus kaum Melayu manakala bakinya kaum Cina dengan majoriti bekerja di sektor perkilangan atau bekerja sendiri seperti berniaga atau melakukan kerja-kerja kampung.

 -- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan