KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) FC atas kejayaan mereka menjuarai Liga Super 2024-2025.
Ucapan tersebut disampaikan Seri Paduka Baginda menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Pencapaian yang cukup luar biasa ini menandakan kejuaraan liga ke-11 berturut-turut buat pasukan Harimau Selatan dan merupakan piala yang ke-29 sejak ditubuhkan oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor pada tahun 2013,” menurut hantaran tersebut.
JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super selepas menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Jaringan pasukan tuan rumah disumbangkan penyerang kelahiran Sepanyol Jese Rodriguez Ruiz di penghujung babak pertama, diikuti dengan sepakan penalti oleh pemain dari Colombia Jorge Leonardo Obregon Rojas pada minit ke-64.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio mengutip keseluruhan 58 mata selepas 20 perlawanan untuk meninggalkan pencabar terdekat Selangor FC yang mengumpul 42 mata daripada 19 aksi liga.
JDT yang menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super musim ini, kini dalam buruan untuk mempertahankan trofi Piala Malaysia apabila dijadual bertemu Sri Pahang FC pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 April depan.
Skuad Harimau Selatan berpeluang untuk mencatat sejarah Triple Quadruple dalam tiga musim berturut-turut sekiranya berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia musim ini.
-- BERNAMA