BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM

10,000 UDANG HARIMAU DILEPASKAN DI PERAIRAN PULAU BETONG, PERKAYA SUMBER LAUT

26/02/2025 12:43 PM

GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Sebanyak 10,000 ekor udang harimau dilepaskan di perairan Pulau Betong, dekat sini menerusi inisiatif Pelan Induk Pengimbangan Ekologi Penang South Island (PEOM) dalam usaha memperkaya sumber perikanan dan mengukuhkan usaha pemuliharaan marin di selatan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) Datuk Seri Farizan Darus berkata program pelepasan kumpulan pertama hidupan laut itu adalah komponen penting dalam PEOM, selain memperkukuh komitmen pihaknya terhadap pemuliharaan marin dan perikanan lestari.

"Program ini juga merupakan inisiatif perintis untuk menilai keberkesanan usaha pelepasan stok ikan dan udang di selatan Pulau Pinang dan kami berterima kasih kepada Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) atas kepakaran saintifik mereka dalam membimbing inisiatif berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 42,000 ekor udang harimau dan 25,000 ekor ikan siakap turut akan dilepaskan secara berperingkat di perairan sekitar Pulau Betong dan Pulau Kendi dalam tempoh lima bulan akan datang.

Farizan berkata inisiatif itu merupakan usaha kolaboratif yang melibatkan kerajaan negeri melalui pemaju projek Silicon Island Development Sdn Bhd, CEMACS dan agensi kerajaan berkaitan.

Sementara itu, Pengarah CEMACS Prof Datuk Dr Aileen Tan berkata pihaknya menekankan pertimbangan saintifik dan alam sekitar serta pemilihan spesies bagi program pelepasan stok berkenaan yang dibuat berdasarkan kriteria ketat untuk memastikan keseimbangan ekologi dan kelestarian jangka panjang.

"Kami hanya memperkenalkan spesies asal yang mempunyai kadar kelangsungan hidup yang tinggi di perairan Pulau Pinang bagi memastikan usaha pelepasan stok ini tidak mengganggu ekosistem sedia ada,” katanya.

Beliau berkata CEMACS juga akan meneruskan kajian bagi menilai kejayaan program pelepasan stok tersebut serta memahami dengan lebih mendalam corak pergerakan dan migrasi udang serta ikan yang dilepaskan melalui kajian genetik.

Program pelepasan stok itu merupakan manifestasi terhadap dedikasi tokoh akademik dalam bidang biologi marin dan ekologi alam sekitar Allahyarham Prof Datuk Dr Zulfigar Yasin yang memainkan peranan besar dalam pemulihan ekosistem marin dengan menerajui kajian di bawah PEOM.

PICSB merupakan syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi menyelia pembangunan Silicon Island, yang kini sedang dalam fasa penambakan di perairan selatan Pulau Pinang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan