BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 EKONOMI

AXIATA GROUP KEMBALI RAIH KEUNTUNGAN DENGAN UNTUNG BERSIH RM946.82 JUTA 

26/02/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Axiata Group Bhd kembali mencatatkan keuntungan selepas meraih keuntungan bersih sebanyak RM946.82 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2024 daripada kerugian bersih RM1.99 bilion pada tahun kewangan 2023.

Menurutnya peningkatan keuntungan bersih itu didorong oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih tinggi, susut nilai dan pelunasan yang lebih rendah, keuntungan pertukaran asing pada tahun kewangan 2024 berbanding kerugian pertukaran asing pada tahun kewangan 2023, dan keuntungan RM306.1 juta daripada penebusan awal hutang.

“Ini sebahagiannya diimbangi oleh keputusan kewangan yang rendah daripada syarikat usaha sama dan sekutu, terutamanya daripada CelcomDigi Bhd (CDB) dan cukai yang lebih tinggi.

“Hasil syarikat meningkat 1.9 peratus kepada RM22.33 bilion pada tahun kewangan 2024 berbanding RM22.32 bilion pada tahun kewangan 2023 berikutan pertumbuhan melibatkan semua syarikat operasi melainkan bagi operasi telekomunikasi digital di Sri Lanka dan operasi jalur lebar tetap di Indonesia," kata kumpulan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan telekomunikasi multinasional itu melaporkan pertumbuhan kukuh dalam prestasi kewangannya, dipacu oleh peningkatan EBITDA, yang menokok 12.3 peratus kepada RM11.13 bilion, dan peningkatan lebih 100 peratus dalam pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT), yang mencapai RM3.79 bilion.

Peningkatan ini terutamanya berikutan kos operasi yang lebih rendah disebabkan usaha pengoptimuman kos.

Bagi suku keempat berakhir pada 31 Dis 2024, kerugian bersih menyusut kepada RM224.77 juta daripada RM695.02 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil menurun kepada RM5.36 bilion daripada RM5.89 bilion sebelum ini.

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen kedua sebanyak 5.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sesaham bagi tahun kewangan 2024 sebanyak 10.0 sen, disokong oleh aliran tunai kukuh dan lembaran imbangan yang baik. 

"Perincian mengenai kelayakan dan tarikh pembayaran dividen berkenaan akan ditetapkan dan diumumkan pada masa yang sesuai," kata syarikat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan Vivek Sood berkata 2024 adalah tahun penting berikutan kumpulan ini memajukan strategi pertumbuhan Axiata 5*5, meraih peranan kepimpinan di Malaysia, Kemboja dan Sri Lanka dan pada masa sama mengekalkan kedudukan pada tangga kedua di Bangladesh.

Beliau berkata konsolidasi pasaran dijangka membuka peluang sinergi, menambah baik struktur pasaran, dan mewujudkan kedudukan yang lebih mampan, memperkukuh kelebihan daya saingnya.

Dengan penggabungan XL Axiata-Smartfren yang dijangka selesai pada suku kedua 2025, seluruh pasaran kumpulan akan beralih kepada struktur tiga pemain, dengan Axiata memegang lebih 25 peratus bahagian pasaran setiap satunya.

"Walaupun menghadapi cabaran termasuk persaingan yang semakin sengit di Indonesia dan Malaysia, ketidaktentuan di Bangladesh, dan keperluan pembiayaan bagi pengembangan gentian di Indonesia, kami tetap optimis.

"Kami menjangkakan peluang yang terhasil daripada penstabilan mata wang selanjutnya, realisasi sinergi daripada penggabungan serta pengoptimuman portfolio yang berterusan dan menjana keuntungan aset," katanya dalam satu kenyataan.

Vivek berkata gelombang penggabungan strategik ini mengesahkan komitmen mereka terhadap penciptaan nilai yang mampan kepada pemegang saham, mengukuhkan kedudukan Axiata sebagai syarikat telekomunikasi dominan dan pada masa sama mempercepat pertumbuhan menerusi pengembangan perniagaan digital dan penyelesaian perusahaan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan