BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM

CAMERON HIGHLANDS REKOD TREND PENINGKATAN SUHU

26/02/2025 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Suhu Cameron Highlands menunjukkan trend peningkatan terutamanya dalam tempoh 10 tahun terakhir berdasarkan rekod data meteorologi dari 1969 hingga 2024.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata 2024 mencatatkan sejarah sebagai tahun terpanas di kawasan pelancongan itu dengan purata suhu harian mencecah 18.91 darjah Celsius.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.86 darjah Celsius berbanding purata suhu harian jangka panjang (1991 hingga 2020), iaitu 18.05 darjah Celsius. 

“Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Cameron Highlands ialah 27.9 darjah Celsius pada Mei 1998 manakala suhu terendah pula 10 darjah Celsius pada Februari 1989,” katanya menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai statistik perubahan iklim di kawasan Cameron Highlands serta jumlah kes kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Dalam pada itu, Huang berkata terdapat 689 kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands direkodkan dari 1961 hingga kini.

Beliau berkata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah dipertanggungjawabkan melaksanakan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dengan menerusi projek itu, sebanyak 45 cerun kritikal berisiko tinggi telah dikenal pasti di kawasan Cameron Highlands.

“Sebanyak lima lokasi di Cameron Highlands telah dipasang peralatan sistem amaran awal. Kesemua maklumat bencana geologi tanah runtuh dan cerun kritikal ini dikongsikan bersama agensi dan jabatan berkepentingan yang terlibat bagi tujuan pengurusan dan mitigasi cerun serta kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana geologi tanah runtuh,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan