BERITA TERGEMPAR | Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | |
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan sesi pagi dalam wilayah positif pada Rabu, didorong oleh sentimen yang lebih baik dan pembelian saham wajaran tinggi terpilih.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.96 mata atau 0.51 peratus kepada 1,575.99 daripada 1,568.03 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.76 mata lebih rendah kepada 1,566.27.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 445 berbanding 404, sebanyak 445 kaunter tidak berubah, 1,082 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan berjumlah 1.64 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun tahap kebimbangan meningkat terhadap pertumbuhan Amerika Syarikat (AS), penurunan mendadak dalam hasil AS telah memberi kesan positif kepada aset tempatan.
"Pelabur kekal memberi perhatian terhadap kedudukan jangka panjang Malaysia terutamanya peranannya dalam orientasi semula rantaian bekalan yang berterusan. Kebanyakan syarikat dijangka melindungi nilai dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik.
"Ujian sebenar ialah sama ada keyakinan ini boleh bertahan menghadapi masalah makro yang lebih luas terutamanya apabila kedudukan perdagangan AS mula reda," katanya kepada Bernama.
Ketika ini, pelabur masih yakin terhadap keupayaan Malaysia untuk memanfaatkan peralihan dinamik global yang berlaku sekarang.
"Bagaimanapun, memandangkan selera risiko kekal tidak menentu, sebarang ketegangan perdagangan atau gelombang ketidaktentuan baharu dari Washington, D.C. (Rumah Putih) boleh menjejaskan kenaikan," kata Innes.
Sementara itu, antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.48, Public Bank dan Tenaga Nasional naik enam sen masing-masing kepada RM4.52 dan RM13.46, manakala CIMB merosot empat sen kepada RM8.19 dan IHH Healthcare susut satu sen kepada RM7.30.
Bagi kaunter aktif, Ingenieur Gudang turun 0.5 sen kepada empat sen, SFP Tech jatuh dua sen kepada 32.5 sen, Datasonic merosot 2.5 sen kepada 27 sen dan Nationgate berkurangan lima sen kepada RM1.89.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 56.25 mata kepada 11,812.54, Indeks FBMT 100 meningkat 60.21 mata kepada 11,564.22, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 57.83 mata kepada 11,492.71, Indeks FBM 70 menambah 95.41 mata kepada 19,967.03 manakala Indeks FBM ACE susut 2.62 mata kepada 4,805.98.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 89.28 mata kepada 19,234.89, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.24 mata kepada 158.94, Indeks Perladangan naik 37.83 mata kepada 7,520.43 manakala Indeks Tenaga merosot 1.24 mata kepada 752.16.
-- BERNAMA