AM

BERNAMA BERI PERKHIDMATAN TERBAIK KEPADA PETUGAS MEDIA SEPANJANG LIPUTAN ASEAN 2025 - KPE 

26/02/2025 09:16 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

KOTA TINGGI, 26 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yakin mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengamal media tempatan dan antarabangsa dalam membuat liputan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Bernama telah dilantik sebagai media rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa (IMC) berdasarkan kepakaran sebagai agensi berita nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pengalaman luas agensi berita itu digunakan dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada petugas media.

"Sebagai agensi berita nasional, kami memahami segala keperluan media. Jadi, persiapan kami dibuat berdasarkan keperluan mereka.

"Apabila saya melihat sendiri persiapan dan segala-galanya hari ini, saya percaya sebagai orang media,  ruang kerja untuk IMC yang kami sediakan adalah cukup sempurna," katanya selepas meninjau operasi IMC bagi Sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) 2025 ke-31 dan mesyuarat berkaitan di Desaru di sini hari ini.

Permukiman AEM ke-31 itu adalah mesyuarat peringkat menteri kedua di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, selepas Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi Januari lepas.

Bagi memastikan kelancaran dan keperluan petugas media dipenuhi, IMC di Desaru kelolaan Bernama dilengkapi dengan ruangan kerja, kemudahan Internet berkelajuan tinggi, kaunter informasi termasuk pengurusan temu bual bersama delegasi antarabangsa selain ruangan kopi dan teh.

Setakat ini, sebanyak 102 petugas media merangkumi media tempatan dan antarabangsa telah berdaftar untuk membuat liputan bagi sesi permukiman AEM yang dihadiri lebih 200 perwakilan dari 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste.

Sebagai media rasmi, Bernama juga akan memberi liputan menyeluruh menerusi semua platform iaitu Bernama Wires, Bernama Foto, Bernama TV (Astro 502), Bernama Radio dan Bernama Digital.

Sesi Permukiman AEM dan mesyuarat berkaitannya yang berlangsung di Desaru dari 22 hingga 28 Feb, dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) Ke-12 pada 22 hingga 23 Feb, seterusnya Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) bermula 24 hingga 25 Feb.

Seterusnya, Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) diadakan hari ini hingga esok, manakala kemuncak acara Permukiman AEM akan berlangsung pada 28 Feb ini dengan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam permukiman ini, menteri dijangka membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasakan kemampanan, dan merangsang perdagangan digital di rantau ASEAN.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos, dengan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang diasaskan pada 8 Ogos 1967 kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, manakala kemasukan Timor-Leste untuk menjadi negara anggota masih lagi dalam proses.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan