JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN LELAKI WARGA BANGLADESH KHIANAT, PUKUL ANJING

28/02/2025 09:58 AM

JOHOR BAHRU, 28 Feb (Bernama) -- Polis menahan lelaki warga Bangladesh kerana dipercayai terlibat dalam  kejadian khianat terhadap seekor anjing seperti tular dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata pihaknya telah mengesan satu video tular di media sosial yang dimuat naik oleh pemilik akaun Instagram UPDATEINFO11 memaparkan kejadian khianat terhadap seekor anjing yang turut mendapat perhatian meluas di media sosial.

"Satu laporan berhubung insiden itu diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Isnin lepas, kira-kira 1.09 tengah hari di sebuah kawasan rumah kedai di Senai, Johor.

"Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 45 tahun bagi membantu siasatan. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Pemeriksaan mendapati anjing tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan dijaga dengan rapi oleh lelaki tempatan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. 

Menurut beliau, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun serta denda RM20,000 hingga RM100,000.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan penganiayaan terhadap haiwan dan meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan haiwan.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 14 saat memaparkan seorang lelaki mengejar seekor anjing di luar sebuah premis serta bertindak memukul dan mengetuk anjing itu menggunakan senjata keras yang tidak dapat dipastikan.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan