AM

SULTAN PAHANG TITAH ISU TITAH ADENDUM TIDAK BERTERUSAN DIBAHAS

28/02/2025 05:02 PM

KUANTAN, 28 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua pihak tidak berterusan membahaskan isu berkaitan Titah Adendum kerana perkara itu kini di bawah proses undang-undang.

Baginda menegaskan semua pihak perlu menghormati proses tersebut berikutan perkara itu telah berada di bawah bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab.

"Dalam soal Titah Adendum, bahawasanya perkara ini adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

 "Oleh itu semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik,” titah baginda semasa berangkat pada Program Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri di sini malam tadi.

Berangkat sama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri. 

Al-Sultan Abdullah seterusnya bertitah dalam suasana dunia yang semakin mencabar, semua pihak dinasihatkan supaya tidak membesar-besarkan sesuatu isu sehingga boleh menggugat keharmonian.

Baginda bertitah sikap berlapang dada, bertolak ansur dan menyelesaikan masalah secara hikmah adalah lebih baik daripada menimbulkan kekacauan yang merugikan semua pihak.

"Ingatlah bahawa kedamaian lebih bernilai daripada pertelingkahan," titah baginda.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan