AM

LEBIH 20,000 MURID SEKOLAH TERIMA TAJAAN MAKAN TENGAH HARI - BERNAS

28/02/2025 04:40 PM

LIPIS, 28 Feb (Bernama) -- Lebih 20,000 murid sekolah rendah yang kurang berkemampuan daripada 97 sekolah di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang menerima bantuan berbentuk tajaan makan tengah hari seimbang menerusi Program Makanan Kesihatan (Promak) sejak Januari 2022.

Pengerusi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata usaha bersepadu Promak yang dirangka Bernas dengan kerjasama rapat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan ini telah menyediakan lebih sembilan juta hidangan tengah hari dapat dinikmati murid sekolah terlibat. 

Beliau berkata program ini tidak meminggirkan mana-mana kumpulan B40 apabila manfaatnya turut sama diperluas kepada masyarakat Orang Asli dalam misi bersama-sama kerajaan menjayakan agenda nasional menangani isu malnutrisi murid sekolah rendah di negara ini. 

“Alhamdulillah, Promak diperluas lagi dengan tercapainya hasrat Bernas untuk menyantuni masyarakat Orang Asli dan memastikan anak-anak ini mendapat akses kepada sumber pemakanan yang seimbang di sekolah. 

“Promak menawarkan pelbagai menu pilihan yang dirancang khas mengikut keperluan pemakanan murid yang sedang membesar. (Ini kerana) makanan asas yang mencukupi dan seimbang untuk anak sedang membesar cukup penting untuk tumbesaran dan perkembangan mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Makanan Kesihatan (Promak) Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Koyan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mengulas lebih lanjut, Rohani berkata SK Kuala Koyan menjadi sekolah Orang Asli pertama menerima bantuan tajaan makanan tengah hari di Pahang dan pihaknya akan memberikan pertimbangan sama ada Bernas akan memperluas lagi manfaat itu kepada lebih ramai anak-anak Orang Asli pada masa akan datang.

"Pahang adalah edisi terkini dalam senarai tajaan Promak yang melibatkan seramai 1,534 murid dari empat sekolah iaitu SK Pontian, SK Janglau, SK Rompin dan SK Kuala Koyan sejak Oktober lepas," katanya.

Beliau berkata sejak Promak dilaksanakan, pihaknya mendapat maklum balas positif ke atas berat, ketinggian dan kehadiran murid berdasarkan kepada rekod Data Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK).

"Sebagai contoh, rekod Data SEGAK di Kedah mencatatkan jumlah murid tertinggi mendapat manfaat Promak di 45 sekolah di negeri itu, menunjukkan tiga peratus penurunan dalam kalangan murid-murid kurang berat (underweight) daripada 12 peratus atau 634 murid pada 2023 kepada sembilan peratus atau 457 murid pada 2024," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berharap lebih banyak syarikat swasta dapat mengikuti inisiatif sebagaimana yang digerakkan oleh Bernas dalam bersama-sama dengan kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada BERNAS kerana membuat program seperti ini yang sangat baik dalam membantu golongan B40 mendapat makanan berzat. Saya percaya program seperti ini dapat menyumbang kepada kecerdasan otak murid-murid, meningkatkan kehadiran mereka ke sekolah dan membantu menangani masalah bantut di Pahang. 

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan boleh memberikan impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan